Anda di sini

Tiada keperluan Morgan datang ke M’sia sekarang, tegas Khairy

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpandangan tiada keperluan untuk peguam Mike Morgan datang ke Malaysia sekarang walaupun pendengaran kes doping Datuk Lee Chong Wei semakin hampir.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ini kerana peguam sukan terkemuka itu sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memperoleh serta mengumpul maklumat untuk pembelaan kes tersebut.

“Saya difahamkan semua maklumat yang diperlukan oleh Morgan sedang dikumpulkan oleh pihak BAM dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya mengulas kemungkinan pengasas firma guaman Morgan Sports Law LLP berpangkalan di London itu akan datang ke Malaysia untuk bertemu BAM.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama antara KBS dengan ITE Educatioan Services, Singapura, bagi meningkatkan kualiti pengajaran serta kepimpinan dalam kalangan tenaga pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini semalam.

Khamis lepas, Khairy mengumumkan pelantikan Morgan bagi membantu jaguh badminton negara itu berdepan dengan panel pendengaran doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sebagai rekod, Morgan dinamakan sebagai seorang daripada 20 peguam sukan yang berpengaruh dan telah merangka peraturan disiplin untuk memberi nasihat tentang siasatan antidoping. — Bernama

Advertisement