Anda di sini

PTBS rangka inisiatif promosi tenis di kalangan Bumiputera

Advertisement

KUCHING: Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) sedang merangka inisiatif untuk mempromosi sukan tenis di kalangan Bumiputera dengan mengenakan yuran yang rendah.

Menurut Exco PTBS, Nur Ashriel Abdullah inisiatif tersebut merupakan salah satu langkah bagi persatuan melatih pemain baharu selain menyumbang kepada masyarakat.

Beliau yang mengendalikan program pembangunan dan pertandingan PTBS menyedari sejak akhir-akhir ini, sukan tenis kian digemari kaum Bumiputera di sini.

“PTBS sentiasa bekerja keras untuk mempopularkan sukan ini di kalangan kaum Bumiputera sejak persatuan ditubuhkan empat tahun lalu,” katanya.

“Justeru, kita berharap dengan mengenakan yuran yang rendah akan membantu mempopularkan tenis di kalangan kaum Bumiputera selain pada masa yang sama bertindak sebagai medan untuk mencungkil bakat di kalangan pemain remaja.”

Beliau mengulas lanjut, apa yang dilaksanakan oleh PTBS itu adalah untuk memastikan kaum Bumiputera dapat bermain tenis dengan bayaran yang rendah.

Ini akan menjadi pendorong kepada pemain muda yang bercita-cita untuk menjadi pemain profesional terus mendapat latihan.

“Kita sedar ramai pemain Bumiputera di luar sana yang berhasrat untuk menjadi pemain profesional seperti Roger Federer, Serena Williams dan ramai lagi… dan persatuan berminat untuk membantu merealisasikan impian mereka itu,” tambah Nur Ashriel.

Menurutnya, beberapa sekolah di sekitar bandaraya juga telah memulakan langkah awal dengan menghantar pelajar mereka berlatih di gelanggang persatuan yang terletak di Jalan Demak, Petra Jaya.

“PTBS juga berhasrat untuk mempromosi persatuan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara rakan dan ahli keluarga melalui bersukan,” ujar Nur Ashriel.

“Ini selari dengan impian kita untuk membantu melahirkan masyarakat yang sihat dan berdaya saing.”

Mereka yang berminat untuk menyertai PTBS boleh melawat pejabat persatuan yang terletak di Jalan Demak, Petra Jaya.

Advertisement