KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem peperiksaan secara dalam talian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperkenalkan buat kali pertama pada 30 April lepas, disifatkan berjaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun memberitahu Dewan Rakyat ini terbukti dengan meningkatnya jumlah calon yang mengambil peperiksaan itu berbanding sistem peperiksaan konvensional yang dilaksanakan sebelum ini.
“Peratus calon yang mengambil peperiksaan di Semenanjung meningkat kepada 62 peratus berbanding 50 peratus pada edisi sebelum ini. Peningkatan juga dilapor di Sabah iaitu 68 peratus berbanding 54 peratus dan juga di Sarawak daripada 54 peratus kepada 66 peratus.”
Keseluruhannya sistem peperiksaan online (dalam talian) telah memberi impak begitu positif dan terbukti kerana calon tidak lagi perlu hadir ke pusat peperiksaan atau mengambil cuti khas, sebaliknya boleh menjawab secara ‘online’ selepas waktu kerja mereka,” katanya pada sesi soal jawab dewan semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang ingin tahu kesukaran calon luar bandar mengambil peperiksaan secara dalam talian.
Entulu juga berkata sistem pelayan yang digunakan telah ditambah baik selepas melalui ujian tekanan dalam usaha mengatasi masalah teknikal yang menyukarkan calon menduduki peperiksaan secara dalam talian.
Selain itu, pasukan khas teknikal dan pasukan media juga telah dibentuk bagi menjawab panggilan-panggilan daripada calon yang menghadapi masalah ketika menduduki peperiksaan, katanya.— Bernama