Anda di sini

Kejutan tercipta pada hari ketiga

Advertisement

KUCHING: Hari ketiga Cabaran Antarabangsa Kuching Malaysia Maybank 2014 menyaksikan beberapa kejutan dicatat dalam aksi perseorangan dan beregu.

Pemain negara Tan Chun Seang memastikan slot ke suku akhir setelah menundukkan Christie Jonatan dari Indonesia.

Bagaimanapun, pilihan kedua kejohanan itu dipaksa bekerja keras bermain dalam tiga set sebelum menang 14-21, 21-15, 21-19.

Zulfadli Zulkiffli turut mara dengan menewaskan Fikri Ihsandi Hadmadi dari Indonesia dengan 21-14, 21-18.

Pilihan pertama dari Korea Selatan, Lee Hyun Il juga melangkah selesa selepas menundukkan Chi Wing Lim 21-16, 21-16.

Wakil perseorangan negara yang turut melengkapkan slot ke suku akhir termasuk Nur Mohd Azriyn Ayub dan Giap Chin Goh setelah masing-masing menewaskan rakan sepasukan, June Wei Cheam dan Joo Ven Soong.

Sementara itu, kejutan dicatat dalam aksi perseorangan wanita apabila pilihan pertama, Yuswandari Aprilla dari Indonesia tersungkur di tangan rakan sepasukan, Gregoria Mariska dengan 13-21, 21-16, 21-19.

Kategori itu juga menyaksikan empat pemain negara tersingkir iaitu Rui Chen Yap, Yin Fun Lim, Zii Yii Lee dan Yen Mei Ho.

Hanya Lydia Li Ya Cheah, Sannatasah Saniru dan Li Lian Yang menempah tiket ke suku akhir hari ini.

Sementara itu, beregu campuran negara Ren Cong Chan-Lydia Li Ya Cheah mengejutkan pilihan keenam dari Chinese Taipei, Chia Yu Lin-Ya-Han Chang 21-12, 21-19 untuk ke suku akhir.

Pilihan kedua Tan Chun Seang-Shevon Jemie Lai turut mara setelah mengenepikan satu lagi wakil Chinese Taipei, Li-Wei Po-Hsin Tien Chang dengan 21-19, 21-8.

Malaysia turut mara dalam saingan beregu lelaki apabila Wee Gieen Tan-Ee Yi Teo menewaskan rakan sepasukan Khek Wei Chua-Muhammad Amzzar Zainuddin 22-20, 21-10.

Begitupun, impian dua lagi wakil negara tidak kesampaian apabila akur dengan kehebatan lawan masing-masing.

Jian Yi Lee-Zhen Ting Lim dikalahkan pilihan keenam dari Indonesia, Yohanes Rendy Sugiarto-Afiat Yuris Wirawan dengan 21-14, 21-15.

Manakala, Darren Isaac Devadass-An Khang Tai dikecewakan pasangan Chinese Taipei yang juga pilihan keempat, Chia Yu Lin- Hsiao-Lin Wu dengan 21-16, 21-14.

Saingan suku akhir disambung hari ini.

Advertisement