BANGI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil yang ingin memberi pendapat berhubung kajian dasar pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) diingatkan supaya mengikut ‘acuan Malaysia’.
Ketika menyuarakan ingatan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri turut meminta semua pihak supaya mengamalkan kesedaran sivik dalam menyuarakan pendapat berhubung pelan berkenaan di media sosial.
Beliau berkata NGO dan masyarakat sivil tidak harus terpengaruh dengan hak asasi negara luar yang mempunyai masyarakat berbeza dengan Malaysia.
“Ayuhlah kita mengikut agenda Malaysia sendiri dan rangka pelan hak asasi secara ikhlas dan jujur demi kebaikan negara serta berfikiran sivik untuk jayakan projek ini melalui media sosial,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Bersama NGO dan Masyarakat Sivil Dalam Menjayakan Kajian Dasar NHRAP di sini semalam.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 150 peserta terdiri daripada wakil pelbagai NGO, masyarakat sivil dan kumpulan penyelidik bertujuan mewujudkan platform yang telus dan terbuka bagi berbincang serta mendapatkan pandangan berhubung isu hak asasi manusia.
Bercakap kepada Bernama selepas majlis itu, Nancy berkata NGO dan masyarakat sivil Malaysia perlu melihat keadaan Malaysia sebelum memberi pandangan berhubung hak asasi.
“NHRAP Malaysia mestilah berasaskan acuan Malaysia. Kita negara multi-etnik, di Semenanjung etniknya lain, di Sabah etniknya lain dan di Sarawak pula lain.
Untuk menggabungkan kesemua kumpulan ini, kita perlu memahami pemikiran dan budaya mereka,” katanya.
Jelas beliau NGO boleh merujuk kepada negara tertentu sebagai penanda aras, bagaimanapun ia mestilah bersesuaian dengan Malaysia.
Selain itu beliau turut meminta para penyelidik supaya bersikap rasional ketika memberi komen mengenai NHRAP di media sosial. — Bernama