Anda di sini

PPM rampas bot laju

Advertisement

Oleh AMIR ANUAR //

Disyaki diguna untuk kegiatan menyeludup

JURAGAN bot laju ini diberkas kerana disyaki cuba menyeludup minyak petrol bersubsidi.

SEMPORNA: Sebuah bot laju dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Laut Nusa Kuya di sini, Selasa, kerana disyaki digunakan untuk aktiviti menyeludup.

Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata, pasukannya turut menahan juragan bot laju terbabit beserta 600 liter minyak petrol yang diisi di dalam 24 gelen.

“Secara keseluruhannya, nilai barang rampasan kali ini termasuk satu unit enjin sangkut 40 kuasa kuda mencecah RM13,376,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata, rampasan itu dibuat Pegawai Pemerintah Operasi PPM Semporna ASP Safardi Abd Samad bersama lima anggotanya menerusi Bot Samaran 2 Tugas Khas.

Hasil siasatan awal, pihaknya percaya suspek berusia 27 tahun yang mengemudi bot laju itu hendak menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi itu keluar ke negara jiran.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya sambil meminta orang awam supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada PPM.

Mohammad berkata, penyaluran maklumat awal orang awam penting untuk membolehkan tindakan segera diambil untuk membendung aktiviti yang melanggar undang-undang.

Advertisement