Anda di sini

Pelapis judo Sarawak lakar kejutan

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Kontinjen negeri raih dua emas, satu perak dan empat gangsa pada kejohanan di Sabah

MEMBANGGAKAN: Atlet judo Sarawak meraikan kejayaan selepas kejohanan berakhir.

KUCHING: Atlet pelapis judo Sarawak melakar kejutan pada Kejohanan Judo Jemputan Sabah 2014 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 9 November lalu.

Kontinjen negeri yang diwakili seramai 10 peserta berjaya menggondol dua emas, satu perak dan empat gangsa untuk meletakkan Sarawak di tangga kelima secara keseluruhan dari 15 pasukan yang mengambil bahagian.

Pemenang perak SUKMA 2013, Andrew Sia Kah Huong menghadiahkan emas pertama dalam kategori lelaki melebihi 100kg dan 16 tahun ke atas.

Manakala emas kedua disumbang Lai Li Ming bagi kategori bawah 50kg, bawah 15 tahun.

Ia disusuli dengan kejayaan Tan Yin Hui mengutip perak dalam kategori bawah 73kg ke bawah, bawah 15 tahun.

Pencapaian cemerlang atlet pelapis Sarawak diteruskan dengan pungutan empat gangsa oleh peserta wanita yang dimenangi Raphael Moa (bawah 81kg), Shua Zhi Yuen (bawah 60kg), Voon Xue Jia (bawah 57kg) dan Fanny Kong (bawah 52kg).

Pengurus Pasukan Nyam Sze Yeung mengucapkan syabas dan gembira dengan pencapaian atlet pelapis negeri pada kejohanan tersebut sambil menambah kejayaan itu adalah di luar dugaan.

Menurut Nyam, kebanyakan peserta yang dihantar merupakan atlet pelapis SUKMA pasukan B dan C dan mereka mewakili Persatuan Judo Sarawak (PJS).

Tambahnya, PJS tidak menyenaraikan atlet pelapis A kerana mereka akan menyertai kejohanan antarabangsa di Pulau Pinang pada bulan depan.

“Pencapaian ini memang di luar dugaan kerana kita tidak menyasarkan apa-apa sasaran spesifik memandangkan kebanyakan atlet pelapis kita masih muda dan kurang berpengalaman, ” katanya semalam.

“Namun, mereka berjaya membuktikan kemampuan dengan memberi cabaran kepada lawan yang jauh lebih hebat dan membawa pulang pingat.

“Ia satu permulaan yang bagi atlet pelapis dan saya yakin mereka mampu mencapai lebih banyak kejayaan jika terus fokus dalam latihan.”

Nyam menjelaskan lagi, kejohanan itu menjadi pendedahan bagi skuad judo Sarawak sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2015 di Kuala Lumpur.

Advertisement