Anda di sini

Lapan pemain perseorangan negara lepasi pusingan kedua

Advertisement

KUCHING: Lapan pemain perseorangan negara berjaya melepasi pusingan kedua Cabaran Antarabangsa Kuching Malaysia Maybank 2014 yang sedang berlangsung rancak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya semalam.

Pilihan kedua kejohanan Tan Chun Seang memastikan slot ke pusingan ketiga setelah menundukkan pemain Chinese Taipei, Chang En Chia 2-1 (15-21, 21-6, 20-16) dalam masa 38 minit.

Rakan sepasukan Zulfadli Zulkiffli yang juga pilihan ketiga turut mara dengan mengatasi Parinyawat Thongnuam dari Thailand dengan 2-0 (21-18, 21-16).

Pemain lain yang mengesahkan slot ke pusingan ketiga ialah Lim Chi Wing, Cheam June Wei, Soo Teck Zhi, Nur Mohd Azriyn Ayub, Soong Joo Ven dan Goh Giap Chin.

Nasib malang bagi Muhammad Shakhier Ruhizad apabila mudah dijinakkan pilihan pertama Lee Hyun Il dari Korea Selatan dengan 2-0 (21-13, 21-12).

Acara perseorangan wanita menyaksikan beberapa wakil negara berjaya melangkah ke pusingan seterusnya.

Lee Zii Yii tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain Chinese Taipei, Tai Ching Chieh dengan 21- 16, 21-14.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Lydia Li Ya Cheah terpaksa bertarung dalam tiga set sebelum mara dengan mengatasi pemain Singapura, Xiaoyu Liang dengan 8- 21, 21-16, 21-17.

Turut mara Yap Rui Chen, Lim Yin Fun, Ho Yen Mei dan Yang Li Lian.

Pilihan pertama kejohanan Yuswandari Aprilla dari Indonesia menepati ramalan apabila mudah menjinakkan Chen Su Yu dari Chinese Taipei dengan 21-18, 21-11.

Saingan beregu campuran menyaksikan wakil negara yang juga pilihan pertama Fai Yin Wong-Mei Kuan Chow mara setelah menundukkan pasangan dari Jepun, Yuki Kaneko- Naru Shinoya dengan 21-9, 23-25, 21-13.

Pilihan kedua, Chee Tean Tan-Shevon Jemie Lai turut ke pusingan seterusnya setelah mudah mengatasi wakil dari Chinese Taipei, Ko-Chi Chang-Szu Yu Chen dengan 21-9, 21-17.

Pasangan Ren Cong Chan- Lydia turut ceria melangkah dengan mengatasi beregu Australia, Daniel Guda- Gronya Somerville Dengan 21-17, 22-24, 21-11.

Kesemua perlawanan akan bersambung hari ini.

Advertisement