Anda di sini

Konsep bina kemudian jual rumah tidak wajib dilaksanakan 2015

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam memutuskan konsep bina kemudian jual bagi pemaju perumahan tidak wajib dilaksanakan tahun hadapan.

Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ia bagi mengelak berlakunya pengurangan penawaran rumah di pasaran, sekali gus boleh menyumbang kepada kenaikan harga rumah.

“Kajian yang dibuat mendapati kalau kita mewajibkan konsep bina kemudian jual ini dikuatkuasakan pada 2015, ia akan menyumbang kepada kenaikan harga rumah pada tahun hadapan.

“Jika dilaksanakan, apa yang berlaku ialah syarikat atau pemaju perumahan kecil-kecilan tidak mampu untuk membina rumah disebabkan setiap kos terpaksa ditanggung oleh mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negara di kementeriannya di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan yang pernah dibuat bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung bahawa semua pemaju perumahan akan diwajibkan melaksanakan konsep bina kemudian jual mulai 2015 yang kini menjadi bualan hangat dalam kalangan syarikat pemaju dan orang ramai.

Menerusi konsep yang ber-tujuan mengelakkan pembeli ter-aniaya akibat projek terbengkalai, pembeli cuma membayar 10 peratus deposit dan baki 90 peratus lagi hanya dibayar selepas rumah siap.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata beliau telah meneliti ucapan yang dibuat bekas rakan sejawatnya di Dewan Rakyat pada 2012, dan mendapati Chor hanya menyatakan kerajaan berniat untuk mewujudkan sistem bina kemudian jual pada 2015 jika keadaan sesuai.

“…dan ketika ini kita beranggapan bahawa masanya belum sesuai untuk konsep itu dilaksanakan, apatah lagi dengan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta fenomena kenaikan harga rumah yang agak tinggi, sudah tentu ini bukan sesuatu yang ingin kita laksanakan pada 2015,” katanya.

Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan kementerian tidak menolak terus konsep itu, malah menyambut baik hasrat mana-mana pemaju untuk melakukannya secara sukarela untuk memberikan imej positif kepada syarikat dalam kalangan pembeli.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kementerian sedang berbincang dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi membangunkan sebuah pangkalan data komprehensif menghimpunkan segala maklumat, statistik dan data berkenaan pembangunan perumahan.

Beliau berkata ketika ini semua agensi kerajaan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) memiliki pangkalan data sendiri dan cabaran utama kepada kementerian adalah dari aspek mendapatkan statistik yang sahih dan berwibawa yang boleh diakses oleh semua pihak, termasuk orang awam. — Bernama

Advertisement