Anda di sini

Syabu bernilai RM800,000 dirampas

Advertisement

RAMPAS: Noor Rashid (tengah) menunjukkan dadah jenis Syabu seberat 2.5 kg yang disorokkan di dalam alat ‘Sealing Cutting Machine Rubber Roller’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis mematahkan empat percubaan menyeludup dadah oleh sindiket antarabangsa yang dipercayai didalangi warga Nigeria dan merampas syabu seberat kira-kira 8 kilogram bernilai RM800,000 di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya pada Jumaat dan kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata operasi rampasan dadah yang dipercayai dibawa dari Guangdong, China itu tidak melibatkan sebarang tangkapan.

“Pada Jumaat lepas, kira-kira jam 7 petang, kami telah membuat pemerikasaan ke atas sebuah kotak di syarikat kurier itu dan menjumpai syabu seberat 2.5 kg, yang disorokkan di dalam alat ‘machine rubber roller’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Susulan kes pertama itu, Noor Rashid berkata sebuah kotak lain yang mengandungi peralatan aksesori basikal juga turut diperiksa di syarikat terbabit dan polis menjumpai pula bungkusan kertas karbon mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.9 kg yang disorok dalam span tempat duduk basikal.

“Penggunaan kertas karbon ini berfungsi untuk mengelakkan dadah ini dikesan oleh mesin pengimbas,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga di syarikat kurier yang sama pada jam 1 petang kelmarin, polis yang memeriksa sebuah kotak mengandungi alat ‘machine rubber roller’ menjumpai lagi dadah jenis syabu seberat 2.5 kg yang disorokkan di dalam alat berkenaan.

Selang empat jam kemudian sebanyak 22 bungkusan kecil syabu seberat 970 gram turut dijumpai di dalam enam buah katrij warna mesin pencetak, katanya.

Noor Rashid berkata kejayaan itu adalah hasil maklumat yang diterima daripada pihak awam dan kerjasama erat syarikat perkhidmatan kurier terbabit dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah di negara ini. — Bernama

Advertisement