Anda di sini

Pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dibentang pada sesi depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan kerajaan Amerika Syarikat daripada Tahap Tiga ke tahap lebih baik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang dan ia dijangka dilaksanakan menjelang Jun tahun depan.

Cadangan pindaan itu terutama mengenai tindakan-tindakan seperti tangkapan dan pertuduhan telah dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa khas peringkat atasan dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, katanya.

“Antara yang diberi penekanan dalam perbincangan itu ialah penjagaan mangsa pemerdagangan orang di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antipemerdagangan orang dan kita masih berbincang untuk mengenal pasti NGO yang mampu bekerjasama dengan kerajaan serta bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan yang perlu diberi kepada mereka.

“Penasihat undang-undang kami telah membawa perkara ini kepada Peguam Negara untuk meminda undang-undang sedia ada dan ia dijangka dibentangkan pada persidangan akan datang,” katanya di Dewan Rakyat di sini semalam.

Wan Junaidi menjawab soalan tambahan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi meningkatkan taraf Malaysia dalam laporan TIP yang sangat diberi penekanan oleh Amerika untuk menilai kemasukan Malaysia dalam program pengecualian visa negara itu.

Pada Jun lepas, Pentadbiran Amerika menurunkan taraf Malaysia bersama-sama Thailand dan Venezuela kepada tahap terendah dalam laporan TIP.

Wan Junaidi berkata pelaksanaan undang-undang baharu itu diyakini dapat meningkatkan taraf Malaysia dalam TIP, selain memberi penerangan kepada NGO dari Amerika bagi menunjukkan bahawa Malaysia serius dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia.

Terdahulu, menjawab soalan asal Su mengenai status perbincangan program pengecualian visa dengan kerajaan Amerika, beliau berkata proses itu mengambil masa 18 hingga 24 bulan dan tiada tempoh maksimum ditetapkan oleh negara berkenaan.

“Delegasi teknikal diketuai menteri dalam negeri telah melawat Washington DC pada 25 hingga 29 Ogos untuk mendapatkan taklimat komprehensif mengenai syarat-syarat teknikal bagi menyertai program itu yang merupakan keperluan statutori ditetapkan Kongres Amerika,” katanya.

Wan Junaidi berkata menteri itu turut membuat lawatan susulan pada 24 Sept hingga 2 Okt lepas untuk membincangkan kerjasama dengan Amerika mengenai keperluan Malaysia memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan termasuk memuktamadkan perjanjian membanteras jenayah berat dan perjanjian pertukaran maklumat mengenai pengganas.

Program pengecualian visa itu dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Barack Obama semasa pemimpin Amerika Syarikat itu melawat Malaysia April lepas.

Program itu akan membolehkan rakyat Malaysia memasuki Amerika tanpa visa dan membolehkan mereka tinggal di negara itu bagi tempoh maksimum 90 hari untuk tujuan pelancongan atau perniagaan.

Setakat ini, 37 negara telah menyertai program itu termasuk Singapura dan Brunei. — Bernama

Advertisement