Anda di sini

Wujud sindiket tipu pekerja asing di Cameron Highlands

Advertisement

Agensi di bawah KDN dikerah jejaki ejen sindiket: Zahid

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai punca kebanjiran ribuan pekerja asing di Cameron Highlands mendapati wujudnya penipuan sindiket pekerja tersebut yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lantaran itu, agensi-agensi di bawah kementerian telah dikerah menjejaki ejen sindiket tersebut yang dipercayai menawarkan pelbagai pekerjaan bagi menipu pekerja asing.

“Sekarang pasukan kita sedang mencari ejen-ejen ini kerana kita tidak mahu pemerdagangan manusia (terhadap pekerja asing) ini berlaku.

“Ejen-ejen seperti ini bukan saja menipu pekerja, malah mengambil keuntungan yang banyak,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Beliau juga telah meminta Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia meneruskan pemantauan setiap masa bukan sahaja di kawasan berkenaan malah di beberapa lokasi lain yang menjadi tempat pertemuan dan pengumpulan pekerja asing yang telah tamat tempoh (permit kerja).

Ahmad Zahid berkata jika ejen berkenaan didapati terbabit membawa pekerja ini secara haram, tindakan segera perlu dilakukan, termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Saya juga tidak akan berkompromi jika ada unsur- unsur dalaman (agensi penguatkuasaan) bekerjasama dengan ejen-ejen berkenaan, lebih-lebih lagi jika ada dokumen-dokumen yang telah dikeluarkan untuk pekerja-pekerja asing tanpa izin ini.

“Kepentingan negara perlu diutamakan terutamanya apabila sesuatu kawasan itu tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri ataupun Pejabat Tanah Daerah (untuk aktiviti perladangan),” katanya.

Ahmad Zahid juga menyeru mana-mana agensi termasuk anggota penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ejen dan sindiket ini supaya tampil memberikan bukti dan membantu menumpaskan sindiket tersebut. — Bernama

Advertisement