Anda di sini

Susu ibu tetap terbaik untuk si manja

Advertisement

Oleh Ghaz Ghazali //

SATU HATI: Mohamad Nazron Shah membantu memakaikan sarung galas bayi pada isterinya Mariatul Qiptiyah untuk membawa anak mereka Qaseh Ameerah Qaisara yang berumur lima bulan.

BAGI ibu muda Nurina Kusairi, kali pertama beliau menyusukan anaknya di tempat awam bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan.

“Begitu ramai mata yang memandang ketika itu, membuatkan saya langsung tidak selesa.

“Pernah sekali saya menyusukan bayi saya di dalam tandas awam kerana tiada bilik untuk saya berbuat demikian secara tertutup,” katanya.

“Bayangkan kalau kita hendak membuang air sekalipun perlu memilih tempat, apatah lagi untuk memberi anak kita susu.

“Itulah kali pertama dan terakhir saya berbuat demikian,” kata beliau ketika ditemui Utusan Borneo pada acara ‘Nurse in Public, Nurse in Peace’ (NIP NIP) 2014 di Kuching hujung minggu lepas.

Peristiwa tersebut jugalah yang mendorong Nurina untuk memperkenalkan satu program yang membantu para ibu yang ingin menyusukan bayi mereka tanpa perlu risau akan masa dan tempat yang bersesuaian.

“Ia boleh dilakukan kerana di Kuala Lumpur, ramai sekali ibu di sana sudah faham akan teknik menyusu anak di tempat awam dan ia boleh diamalkan tanpa apa-apa implikasi.

“Yang penting, kita mesti tahu cara-caranya,” ujar koordinator Program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia (PPIMM) Cawangan Sarawak itu.

Menurut beliau, tempoh susuan ibu sepanjang enam bulan pertama dalam hidup seseorang kanak-kanak amat penting dalam membantu pertumbuhan otak dan tubuh, di samping menguatkan daya imunisasi terhadap penyakit.

“Melalui kumpulan ini, kami ingin menggalakkan para ibu untuk terus memberi susu badan kepada anak-anak mereka, paling kurang selama dua tahun, tapi jika lebih panjang tempohnya lebih baik.”

Menurut beliau, Sarawak mencatat peratusan terendah golongan ibu yang menyusukan sendiri anak mereka jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain

“Saya menghadiri konvensyen di Kuala Lumpur dua minggu lepas dan amat kecewa dengan statistik tersebut.

“Walaupun angka sebenar tidak dipaparkan, namun menurut data ia jauh lebih rendah daripada sasaran yang diunjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 38 peratus,” ujarnya.

“Sememangnya kita jauh ketinggalan berbanding Kuala Lumpur dan Selangor.”

Oleh itu, Nurina berharap program yang khusus seperti NIP NIP 2014 akan dapat dianjurkan lebih meluas bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang pentingnya penyusuan susu ibu kepada bayi di kalangan rakyat negeri ini.

MESTI BELAJAR: Nazron (kiri) membantu rakannya Asri Md Abdul Malik memasang sarung galas untuk mengendong anak Asri, Muhammad Umar yang berumur dua tahun, sambil diperhatikan Mariatul (tiga kiri).

SOKONGAN SUAMI

Acara satu hari di Plaza Merdeka merupakan edisi kedua anjuran PPIMM Sarawak di mana program sulung September tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada lebih 50 ibu bersama anak masing-masing.

Tahun ini kata Nurina, acara bertambah menarik dengan kehadiran para suami yang memberi sokongan kepada peserta wanita.

“Perlu ditekankan para suami merupakan tonggak penting kepada kaum wanita.

“Mereka juga harus memberi sokongan kepada isteri masing-masing, terutamanya dalam hal penyusuan susu badan,” katanya.

“Melihat kepada acara hari ini, kami di PPIMM Sarawak sungguh berasa bangga dengan golongan bapa ini yang tidak keberatan untuk datang bersama keluarga masing-masing ke program NIP NIP kali ini,” ujar beliau.

Berkenaan PPIMM, Nurina berkata, cawangan Sarawak telah menubuhkan Kumpulan Sokongan Susu Ibu Sarawak (KUSSIS) sebagai pelantar bagi kaum ibu dari seluruh pelosok negeri ini untuk berbincang, berkongsi nasihat dan petua serta saling membantu dalam amalan murni ini.

Tambah beliau, kumpulan ini juga sering bekerjasama dengan para pakar serta penasihat dari Jabatan Kesihatan setiap daerah dalam mengadakan pelbagai kegiatan khusus buat para ibu dan anak kecil.

“Dalam beberapa sesi yang dijalankan, ada juga ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin kerana risau akan penghasilan susu badan yang sedikit.

“Ini adalah gejala yang amat serius tetapi dengan adanya kumpulan sokongan yang kuat, kondisi ini dapat dipulihkan,” ujarnya.

“Untuk pengetahuan semua, perut bayi yang baru lahir amatlah kecil, hanya sebesar guli.

“Inilah salah satu keindahan ciptaan Tuhan, di mana tubuh seseo-rang ibu akan tahu se-banyak mana pengeluaran susu yang paling ideal untuk pemakanan bayinya,” kata beliau.

Satu lagi isu berbangkit adalah mengenai cara paling berkesan untuk seorang ibu menyusukan anaknya.

“Ramai berfikir bahawa seorang wanita akan, secara semula jadinya, tahu berbuat demikian namun ia kurang tepat kerana para wanita perlu belajar kaedah yang sesuai.

“Di sinilah peranan penting kumpulan sokongan kerana kami juga kaum ibu,” ujarnya.

Kata Nurina lagi, melalui perkongsian dan kaunseling dalam KUSSIS, ahli-ahli mendapat maklumat dan pengetahuan penting dalam proses penyusuan badan.

“Matlamat kami adalah supaya setiap ibu di Sarawak dapat menjadikan amalan penyusuan badan sebagai satu pengalaman yang indah, tenang dan selesa buat mereka dan bayi masing-masing.

“Kita harus sedar bahawa proses ini bukanlah sekadar sesuatu yang klinikal atau biologi, ia meru-pakan jalinan yang teguh di antara seorang ibu dan anaknya,” tegas Nurina.

Untuk maklumat lanjut mengenai faedah penyusuan badan, KUSSIS boleh dihubungi melalui halaman Facebook www.facebook.com/groups/kussis/ atau e-mel [email protected].

DEMONSTRASI: Salah seorang pengendali program menunjukkan cara yang betul untuk memakai sarung galas bayi.

Advertisement