Anda di sini

PEWASA hidupkan permainan wau tradisional

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

SERONOK: Antara yang hadir menyaksikan permainan wau di Pantai Abang Amin Sematan baru-baru ini.

RASMI: Hamsein (dua kiri) merasmikan upacara gimik Pesta Wau Malaysia 2014.

DALAM usaha menghidupkan semula permainan wau tradisional, Persatuan Wau Kuching Sarawak (PEWASA) telah menganjurkan Pesta Wau Malaysia 2014 pada 25-26 Oktober lepas bertempat di Pantai Abang Amin Sematan.

Aktiviti bersempena Pesta Sematan itu anjuran bersama Pejabat Daerah Lundu, Pejabat Daerah Kuching Sematan, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelab Gudi Sarikei, Kelab Sanggar Seni Satok dan Majlis Pelayang Malaysia.

Seramai 50 peserta mewakili Kelab Gudi Sarikei, Kelab Sanggar Seni Satok, Persatuan Pelayang Kelantan, Persatuan Pelayang Perlis, Persatuan Pelayang Johor dan Persatuan Pelayang Terengganu mempamerkan kemahiran melayangkan pelbagai jenis wau tradisional seperti wau kenyalang, wau bulan dan wau jala gudi.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang melihat dengan sendiri seni membuat wau tradisional pada bengkel yang diadakan selain memeriahkan pertandingan wau kekek, demonstrasi wau bercahaya dan wau moden.

Menurut Setiausaha Penganjur Nor Hisham Mat Esa, objektif utama program tersebut ialah untuk mempromosi dan mendedahkan permainan wau tradisional kepada orang ramai.

“Kita mahu menghidupkan semula permainan wau tradisional terutama kepada generasi muda agar ia tidak hilang ditelan arus kemodenan zaman,” katanya.

“Terdapat banyak jenis wau tradisional dari seluruh negara dan ia mempunyai nilai budaya dan warisan yang sangat tinggi dan perlu dijaga.”

Ujarnya, permainan wau tradisional harus dipromosi dengan lebih giat kerana ia bukan sahaja masih diminati masyarakat tempatan tetapi juga pelancong dari luar.

Tambah beliau, ini akan menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari luar ke Sarawak sambil menambah Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg turut menyambut baik usaha untuk menghidupkan semula permainan yang satu ketika dulu amat diminati.

Menurut Nor Hisham, pihaknya berasa bertuah kerana dapat menganjurkan program tersebut di Pantai Abang Amin Sematan.

“Pantai Abang Amin Sematan sangat strategik untuk permainan wau tradisional dan kita mahu memastikan ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” kata Nor Hisham.

“Malah Pegawai Daerah Lundu, Hamsein Atar turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran julung kali di pantai tersebut sambil memberikan sokongan agar ia boleh diteruskan setiap tahun,” tambah beliau.

TELITI: Ukiran tangan wau bulan.

Advertisement