Anda di sini

Perlu tambahan peruntukan

Advertisement

Oleh SITI AISYAH NARUDIN //

Untuk pembangunan HoB

Sam (kiri) bersama Tun Abdullah (tengah) dan isteri Tun Jeanne Abdullah (kanan) yang turut hadir di persidangan itu.

KOTA KINABALU: Jumlah peruntukan yang dilaburkan kerajaan persekutuan untuk pembangunan ‘Heart of Borneo’ (HoB) perlu penambahan kira-kira RM50 juta iaitu 50 peratus dari peruntukan sedia ada.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Manan berkata, penambahan jumlah peruntukan itu bertujuan membantu kerajaan negeri dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan sasaran sebanyak 30 peratus tanah kerajaan mencapai Kawasan Perlindungan Penuh (TPA) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau yakin, bantuan yang disalurkan kerajaan persekutuan mampu memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pengurusan sumber asli.

Sam berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa ‘Enhancing Biodiversity Towards No Net Loss and Beyond Within The HoB Landscape’ di sini kelmarin.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G Palanivel. Turut hadir, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, kepelbagaian strategi dan sokongan kuat dari aspek politik di negeri ini mampu mendorong pencapaian secara berterusan.

“Di Sabah, kami berusaha untuk memperolehi sebanyak mana pencapaian dalam pembangunan dan pengurusan hutan bersesuaian dengan strategi ‘no net loss’.

“Sejak 1984, tiada lagi kuasa eksekutif untuk mengubah status tanah kerana semua cadangan perubahan perlu dijelaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selain itu, hampir empat juta hektar tanah yang diletakkan untuk perhutanan dan pemuliharaan meningkat sejak 40 tahun lalu,” jelasnya.

Sam berkata, setakat ini sejumlah 1.35 juta hektar tanah diwartakan sebagai TPA dan pihaknya menyasarkan untuk menambah sekitar 200,000 hektar lagi menjelang penghujung tahun ini.

Sementara itu, Palanivel dalam ucapannya berkata, salah satu kunci kejayaan terhadap usaha pemuliharaan di Sabah adalah menerusi pelaksanaan inisiatif HoB.

Menurutnya, sejak 2007, banyak usaha berjaya dilaksanakan menerusi inisiatif berkenaan termasuklah pemulihan hutan dataran rendah dan dokumentasi biodiversiti melalui ekspedisi saintifik TPA dalam landskap HoB.

Katanya, kerajaan persekutuan dan negeri akan meneruskan kerjasama dan menjalankan amalan terbaik dalam pengurusan hutan dan pemuliharaan biodiversiti.

Advertisement