Anda di sini

Jawatankuasa khas dibentuk pastikan jalan ke Cameron Highlands selamat

Advertisement

IPOH: Satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memastikan keadaan jalan raya ke Cameron Highlands melalui Perak dan Pahang selamat digunakan, kata Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kerajaan pusat pada dasarnya bersetuju mengenai penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Ini bagi memastikan cerun jalan raya dapat diawasi bagi mengelak ke-jadian kemungkinan berlaku tanah runtuh terutama ketika cuaca hujan lebat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan penjawat awam di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan sini semalam.

Kerajaan negeri sebelum ini membangkitkan aspek keselamatan jalan Tapah-Cameron Highlands dan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Beliau berkata kerajaan pusat khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa tindakan segera akan diambil berhubung kejadian hakisan dan runtuhan di laluan berkenaan.

“Laluan Tapah merupakan jalan raya terawal dan satu-satunya penghubung ke Cameron Highlands dari Perak iaitu sejak zaman kolonial. Kini satu lagi laluan iaitu jalan raya Simpang Pulai-Cameron Highlands merupakan lalu-an alternatif.

Kedua-dua jalan ini menghubungkan Perak ke kawasan itu,” kata Dr Zambry.

Sabtu lepas, laluan Tapah-Cameron Highlands ditutup hingga dibuka kepada hanya kenderaan ringan pada 4.20 petang semalam kerana beberapa lokasi di sepanjang jalan itu mengalami tanah runtuh.

Setakat ini beberapa lokasi telah dibersihkan daripada kesan tanah runtuh, namun kerja-kerja membaiki struktur laluan masih di-teruskan. — Bernama

Advertisement