Anda di sini

Jabatan Perhutanan bawa nama baik ke peringkat antarabangsa

Advertisement

Oleh S.CONNIE PEARL SUIL //

MUSA (dua kiri) bersama dengan tetamu kehormat ketika melawat pameran perhutanan di majlis itu.

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah berjaya menonjolkan nama baik serta usaha perhutanan negara di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berkata, selain berjaya meraih sokongan badan bukan kerajaan (NGO), dermawan serta organisasi antarabangsa, Jabatan Perhutanan Sabah turut berjaya membantu usaha kerajaan dalam sektor perhutanan.

“Setakat ini, terdapat 31 perjanjian dan memorandum persefahaman dimeterai dengan nilai sekurang-kurangnya RM75 juta dana luar yang dilaburkan kedalam pembangunan hutan di negeri ini.

“Semua ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa ada kepimpinan kuat dari pihak Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya dalam ucapannya pada majlis ulangtahun Jabatan Perhutanan Sabah ke-100 tahun di Padang merdeka pada malam Ahad lalu.

Beliau turut memuji usaha yang dilakukan oleh warga Jabatan Perhutanan Sabah yang diketuai Pengarahnya Datuk Sam Mannan.

Katanya, sejak ditubuhkan pada tahun 1914 dengan jumlah pekerja seramai enam orang kini Jabatan Perhutanan Sabah semakin berkembang dengan 2,000 pekerja di 27 pejabat perhutanan daerah.

Musa berkata, perkembangan jabatan adalah perlu dalam memikul tanggungjawab yang lebih luas seiring dengan perubahan landskap hutan dan sektor perhutanan.

“Saya percaya Jabatan Perhutanan ini akan terus cemerlang dan bergerak ke tahap yang lebih tinggi dan sebagai Ketua Menteri, saya akan terus memberikan sokongan padu termasuk mmeperluaskan inisiatif lanjut untuk melindungi hutan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kewujudan selama seratus tahun bukan sahaja penting kepada Jabatan Perhutanan Sabah tetapi juga kepada orang Sabah yang bergantung dengan hasil hutan sejak zaman penjajahan dahulu.

Hadir sama pada majlis itu ialah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement