Anda di sini

‘Gaya hidup merosakkan perlu ditinggal’

Advertisement

Komitmen lakukan perubahan diperlukan daripada semua lapisan masyarakat: TPM

KEMUKA CADANGAN: Muhyiddin (dua kiri) menyampaikan kenyataan dalam mesyuarat meja bulat pada Persidangan Sedunia UNESCO mengenai Pendidikan dan Pembangunan Lestari (ESD) yang bertempat di Nagoya Congress Centre di Nagoya, semalam. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova. — Gambar Bernama

NAGOYA: Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya berganding bahu menangani cabaran yang mempunyai kaitan dengan pola kehidupan tidak lestari agar ia tidak membawa padah kepada generasi akan datang.

Ketika menyuarakan saranan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kini dunia terus menghadapi pelbagai cabaran getir seperti perubahan iklim akibat tindakan manusia, penularan penyakit berjangkit, kekerapan berlaku bencana, kemusnahan biodiversiti dan kekayaan sumber asli yang semakin kehabisan.

“Mencapai keseimbangan antara memenuhi keperluan manusia dan memulihara planet ini demi mengejar keamanan dan kemakmuran adalan sesuatu yang sangat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan pada hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan pada Persidangan Sedunia UNESCO mengenai Pendidikan dan Pembangunan Lestari (ESD) 2014, bertemakan ‘Belajar Hari Ini Demi Masa Depan Lestari’ di Nagoya Congress Centre di sini pada Isnin.

Kehadiran timbalan perdana menteri di sini untuk menyertai peserta lain dari seluruh dunia pada sidang pleno bertemakan ‘Celebrating a Decade of Action’, (Meraikan Tindakan Sepanjang Satu Dekad), adalah sebahagian daripada jadual lawatan kerja dua hari beliau di Nagoya, bermula Ahad.

UNESCO adalah singkatan bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu.

Muhyiddin memberitahu perhimpunan di Nagoya ini bahawa komitmen untuk melakukan perubahan amat diperlukan daripada semua lapisan masyarakat, termasuk aktivis di peringkat akar umbi, pendidik dan penggubal dasar.

“Hanya dengan bekerja bersama-sama di semua peringkat sahajalah kita dapat memastikan ESD boleh berkembang melampaui sempadan projek perintis dan kajian kes individu untuk menjadi pemangkin kepada perubahan yang mempunyai sistem bersifat menyeluruh,” katanya.

Ketika menjelaskan bahawa ESD menjadi tonggak utama bagi usaha memupuk modal insan berkualiti untuk abad ke-21, beliau berkata Malaysia sentiasa komited terhadap ESD, dengan merangkumkannya ke dalam kurikulum sekolah kebangsaan, dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat menengah, melalui mata pelajaran yang diajar kepada murid.

Timbalan perdana menteri memaklumkan kepada hadirin bahawa sebagai sebuah negara unik, yang mempunyai pelbagai budaya dan tradisi, kurikulum itu juga antara lain memberi fokus terhadap keamanan, kesepaduan sosial, kepelbagaian budaya, demokrasi dan keadilan bagi memupuk persefahaman antara etnik.

“Malaysia, seperti kebanyakan negara lain yang berkumpul di sini semalam, mencapai kemajuan dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempromosi ESD. Namun demikian, saya percaya lebih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Muhyiddin juga menyebut tentang perlunya ESD mengguna pakai pendekatan bersifat saling berkait atau pelbagai disiplin.

Dalam hubungan ini, kata beliau, institusi pendidikan tinggi (HEI) perlu diperkasakan untuk menjadi pelaku utama dalam usaha mengarusperdanakan ESD, bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan meluaskan pelaksanaan dan sokongan merangkumi sekolah dan bukan HEI.

“Institusi (pendidikan) tinggi perlu memainkan peranan utama untuk memajukan bahan dan sumber pengajaran yang relevan dengan ESD, yang mampu mencapai hasil lebih banyak dan lebih baik, dengan perbelanjaan yang kurang,” kata Muhyiddin.

Di samping itu, tegas beliau, kolaborasi boleh dipupuk secara pepenjuru, melibatkan entiti komuniti berasaskan pengetahuan seperti taman rekreasi, pusat kebudayaan malahan zoo.

Beliau seterusnya berkata pendekatan dari sudut agama dan kepercayaan serta pendekatan berasaskan kepercayaan ke arah ESD juga boleh digunakan.

“Contohnya, konsep ‘maqasid syariah’ dalam Islam adalah suatu cara hidup untuk memulihara dan melindungi kehidupan, intelek, anak cucu dan harta benda, sejajar dengan nilai yang diperjuangkan melalui ESD,” katanya.

Muhyiddin juga menyentuh tentang anjakan paradigma yang perlu diberi pertimbangan bagi mencapai matlamat pembangunan lestari, termasuk beralih daripada pengeluaran kepada pemuliharaan dalam usaha meminimumkan pembaziran dan lebihan pengeluaran.

Beliau seterusnya menyentuh tentang anjakan daripada pemaksimuman kepada pengoptimuman dan daripada pemilikan kepada pengawasan dengan menjelaskan bahawa manusia bukan menjadi ‘pemilik’ sumber, tetapi hanya sebagai pemegang amanah untuk memastikan sumber yang ada tidak lenyap untuk kegunaan generasi akan datang.

Muhyiddin juga menganjurkan anjakan daripada apa yang beliau sebut sebagai pendekatan bersifat ‘silo’, yang secara eksklusif melibatkan kerajaan atau sektor swasta, kepada perkongsian bersifat kolektif, yang merangkumi kerajaan-akademia-swasta-masyarakat sivil.

Malah, kata beliau, langkah itu boleh juga diambil di peringkat merentas sempadan negara, dengan mengambil contoh Asean sebagai sebuah pertubuhan yang menggabungkan 10 negara di Asia Tenggara.

“Dengan kemunculan Komuniti ASEAN menjelang akhir 2015, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN amat penting untuk menjadikan anjakan ini suatu kenyataan.

“Dengan kata lain, ESD pasca 2014 mempunyai tapak yang lebih luas untuk beroperasi dan ini sesuatu yang sangat berguna untuk sama-sama mewujudkan masa depan lestari,” kata Muhyiddin.

Persidangan tiga hari itu, yang bermula Isnin, menandai pengakhiran Dekad ESD Pertubuhan Bangsa Bersatu (2005-2014) dan akan menyaksikan pelancaran Program Tindakan Global untuk ESD.

Dihadiri kira-kira 1,000 peserta, persidangan ini meraikan pencapaian yang dilakar pada Dekad berkenaan, mengenal pasti pengajaran yang didapati dan membuat persiapan untuk masa depan ESD.

Ia juga mempamerkan inisiatif, penggiat utama, rangkaian dan idea yang lahir daripada Dekad itu. Contoh yang dikumpul dari seluruh dunia ini akan digunakan bagi membantu merancang tindakan untuk masa depan melalui Program Tindakan Global.

Hasil persidangan ini akan dikemukakan kepada Forum Pendidikan Sedunia di Incheon, Korea Selatan tahun depan. — Bernama

Advertisement