Anda di sini

Perlakuan songsang remaja gugat keselamatan negara

Advertisement

Dahulunya bohsia akan jadi GRO, kini keldai dadah: Kajian

SINTOK: Perlakuan songsang di kalangan remaja hari ini perlu ditangani segera kerana dalam jangka masa panjang ia boleh menggugat keselamatan negara.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia Datuk Rosly Abas yang menjalankan kajian komprehensif mengenai permasalahan remaja mendapati trend yang semakin berkembang dan membimbangkan.

Kajian itu dilakukan di George Town, Pulau Pinang selama tiga tahun sejak 2011.

Rosly berkata kajian mendapati jika dahulu bohsia akan menjadi GRO di kelab malam tetapi kini mereka sanggup bertindak sehingga menjadi keldai dadah, yang diperalatkan sindiket antarabangsa.

“Kajian saya mendapati perlakuan songsang remaja sekarang bukan terhenti setakat umur awal remaja sahaja,” katanya.

Beliau berkata apa yang membimbangkan, gejala songsang di kalangan remaja ini kalau tidak terkawal, akan menyebabkan wujudnya satu kumpulan lain iaitu ekstremis.

“Kumpulan ekstremis ini pula melihat perlakuan songsang remaja ini perlu dihentikan.

“Akhirnya akan berlaku pertembungan dua kumpulan pelampau, satu daripada kumpulan remaja itu, dan satu lagi yang ingin hapuskan kumpulan remaja,” katanya.

“Dulu kalau kita cakap pasal mat rempit, setakat waktu sekolah je, lepas bekerja mereka tinggalkan.

“Sekarang, kajian mendapati mat rempit cuba bidang baru selepas mahir merempit.

“Mereka terlibat dengan sindiket dadah, jadi ketua sindikit atau ‘pusher’, yang sampai ke peringkat antarabangsa,” kata Rosly kepada Bernama pada majlis konvokesyen ke-27 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Pada majlis konvokesyen itu, Rosly menerima ijazah Sarjana Sastera (Kerja Sosial) kerana menjalankan kajian berkenaan.

Katanya, pengaruh rakan sebaya juga menjadi penyebab masalah di kalangan remaja berikutan sikap remaja yang suka mencuba sesuatu.

“Nak cuba syabu, nak rasa jadi mat rempit, nak jadi hero di kalangan rakan-rakan,” kata beliau.

“Dua tiga hari ni kecoh dengan isu buli di sekolah. Ini semua masalah kerana keinginan remaja untuk bebas,” tegasnya.

Rosly berkata perlakuan songsang remaja ini perlu ditangani segera sebelum ia menggugat keselamatan negara.

Pendidikan di sekolah adalah cara terbaik menangani permasalalahan ini.

“Sekolah perlu memupuk nilai-nilai disiplin yang lebih tegas. Penting juga pendidikan di rumah.

“Namun, perhatian ibu bapa agak nipis, tumpuan kepada anak-anak kurang berikutan cabaran hidup masa kini,” katanya.

Rosly menarik perhatian bahawa remaja merupakan aset penting kepada negara dalam membina negara bangsa dan ia memerlukan komitmen semua pihak.

“Daripada 30 juta rakyat Malaysia, remaja membentuk lebih kurang lima atau enam juta,” katanya. — Bernama

Advertisement