Anda di sini

REACH bongkar erti kemiskinan tegar

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

PERTARUH NYAWA: Perjalanan mencabar sukarelawan REACH menggunakan bot panjang dari Long Puak ke Long Lamei.

TEMU bual bersama pakar perubatan Dr Xavier Sim, sukarelawan perubatan Sarawak bagi Projek Kesihatan REACH, membuka mata saya akan erti kemiskinan sebenar.

Tidak pernah terbayang oleh saya sebelum ini sebegitu sukarnya kehidupan rakyat di pedalaman, khasnya di Baram yang terpaksa melalui perjalanan berjam-jam lamanya untuk mendapatkan khidmat kesihatan.

Lebih memilukan apabila saya diberitahu dek kerana kemiskinan yang begitu tegar dan tidak mampu membayar tambang, tiada apa yang dapat dilakukan melainkan menahan kesakitan dan bergantung kepada ubat-ubatan tradisional.

Atas semangat yang tinggi untuk membantu masyarakat yang tidak berdaya, sukarelawan perubatan Sarawak memulakan Projek Kesihatan REACH (Rural Expeditions Assisting Community Health) pada 2003.

Menyasari antara kawasan termiskin di Sarawak iaitu Baram di Miri, Dr Sim merupakan antara doktor pertama yang menawarkan khidmat perubatan kesihatan percuma ke beberapa perkampungan di pedalaman Baram.

Sebagai usaha kemasyarakatan yang tidak berkeuntungan, sukarelawan REACH yang terdiri daripada kalangan doktor, doktor pergigian, pembantu perubatan, jururawat dan lain-lain mengambil inisiatif untuk mendekati penduduk di pedalaman Baram.

“Ketika menjejakkan kaki ke kawasan yang disasarkan ini, kami mendapati penduduk di Baram termasuk Ulu Limbang dan Ba’Kelalan menghadapi kesukaran untuk berjumpa dengan doktor dan doktor gigi disebabkan kemiskinan.

“Kami amat tersentuh apabila diberitahu bahawa mereka tidak mampu untuk membayar tambang untuk ke klinik atau hospital yang terletak ratusan kilometer jaraknya dari perkampungan mereka,” katanya.

“Bukan sahaja tidak mampu untuk membayar tambang, malah dek kerana terlalu sakit mereka tidak terdaya untuk berjalan kaki selama berjam-jam untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital,” kata Dr Sim.

Mengulas lebih lanjut mengenai Projek REACH, Dr Sim memberitahu bahawa sejak diperkenalkan pada 2003, mereka telah mengadakan lebih 40 ekspedisi dan merancang mengadakan ekspedisi empat atau enam kali setahun.

Antara kampung-kampung yang telah menerima khidmat REACH ialah Long Lelang, Long Banga, Long San, Long Peluan, Long Lamai, Long Beruang, Long Item, Long Kerang, Long Sepigan, Long Siut, Long Selaan, Long Semadeh dan perkampungan lain yang terletak jauh di pedalaman.

“Memang tidak dinafikan bahawa kerajaan ada menyediakan Khidmat Doktor Udara (FDS), namun perkhidmatan ini hanya disertai pembantu perubatan dan jururawat tanpa khidmat doktor sebenar.

“Tambahan Baram terlalu luas dan FDS hanya dapat meluangkan masa beberapa jam sahaja di setiap perkampungan yang dikunjungi,” katanya.

PENGETAHUAN: Sukarelawan perubatan REACH memberikan pendidikan pergigian kepada kanak-kanak di Long Laman dan Long Ajeng, manakala gambar kiri menunjukkan sukarelawan REACH melakukan pemeriksaan dan rawatan gigi di Long Lamei.

DIMARAHI

Berbeza dengan Projek Kesihatan REACH di mana pasukan perubatannya disertai doktor perubatan, doktor gigi, jururawat, pembantu perubatan termasuk pakar kanak-kanak yang akan menyediakan khidmat penjagaan kesihatan asas, pendidikan kesihatan ter-masuk pembedahan kecil.

“Sepanjang ekspedisi, kami menerima layanan yang cukup baik daripada penduduk kampung yang melayan kami sebagai tetamu dan bukannya sebagai golongan ternama atau berpangkat atau terhormat.

“Kami tinggal bersama mereka dan belajar budaya mereka yang telah banyak mengajar kami dan meningkatkan kefahaman kami mengenai kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum di Sarawak,” ujarnya.

Ditanya mengenai antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyertai ekspedisi tersebut, Dr Sim memberitahu terdapat satu kes di mana seorang lelaki muda mengalami jangkitan di kaki selepas cedera terkena parang.

Disebabkan terlalu lama membiarkan luka, keadaan kaki lelaki terbabit menjadi bertambah teruk,” katanya.

“Mujurlah kami berjumpa dengan lelaki muda itu dan melihat keadaannya yang teruk, kami membawanya ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

“Tetapi lain pula yang berlaku sebaik tiba di hospital, lelaki tersebut dimarahi kerana lambat mendapatkan rawatan,” ujarnya.

“Sungguh kasihan apabila mengenangkan kepayahan yang ditanggung oleh mereka, sudahlah dibebani dengan masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan dan terpaksa berjalan berjam-jam, bila sampai di hospital kena marah pula.

“Dulu mungkin kami tidak faham tetapi apabila kami melihat sendiri keadaan mereka, baharulah kami faham mengapa mereka sering melengahkan untuk mendapatkan rawatan apabila diserang penyakit,” ujar Dr Sim lagi.

Selepas pengalaman dalam beberapa ekspedisi sebelum ini, Dr Sim berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan menyediakan infrastruktur asas seperti jalan, air dan bekalan elektrik kepada rakyat di pedalaman Baram.

“Bayangkan mereka ini bergantung kepada air dari gunung dan apabila sumber ini dicemari oleh aktiviti pembalakan, ia menjejaskan tahap kesihatan mereka.

“Apa yang penting kini ialah menyediakan mereka ini dengan jalan akses yang baik bagi memudahkan mereka menda-patkan khidmat kesihatan di klinik berdekatan,” katanya.

Meskipun berdepan dana terhad, REACH mendapat sokongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Persatuan Perubatan Malaysia serta Rotary Club Kuching.

Sukarelawan perubatan mengambil cuti daripada tugas harian di hospital kerajaan untuk menjayakan ekspedisi kesihatan ini manakala Jabatan Kesihatan Negeri akan menyediakan ubat-ubatan.

“Kami telah berjaya merawat ramai pesakit dengan penyakit kronik yang tidak diagnosis sebelum ini seperti penyakit jantung, jangkitan, kanser, sakit berkaitan kehamilan dan masalah pertumbuhan kanak-kanak.

“Misi kami kini adalah untuk memperbaiki tahap kesihatan penduduk luar bandar dan memberi akses yang sama rata kepada mereka di pedalaman, khasnya di Baram,” tambah Dr Sim lanjut.

“Harapan kami suatu hari nanti, kerajaan dapat menyediakan khidmat pengangkutan perubatan kepada masyarakat di pedalaman untuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan.

“Kami tidak akan berhenti menyediakan khidmat rawatan percuma kepada mereka sehinggalah khidmat kami tidak diperlukan lagi,” katanya mengakhiri temu bual.

USAHA SUKARELAWAN: Klinik percuma REACH di Long Lamei.

Advertisement