Anda di sini

ANGKASA perkenal kit belajar astronomi bagi pelajar kurang upaya penglihatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) semalam  memperkenalkan alat bantuan mengajar astronomi pertama, ‘Space Insight Education Kit’ (SIEK), khusus bagi pelajar kurang upaya penglihatan.

Ketua Pengarahnya, Dr Noordin Ahmad berkata ANGKASA dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan mereka bentuk SIEK dengan tulisan ‘braille’ bagi membantu pelajar berkenaan mendalami bidang astronomi.

“Bidang astronomi dalam silibus sekolah rendah memerlukan pelajar membuat  pemerhatian ke angkasa, melihat bentuk bulan dan bintang, maka satu alat bantu mengajar perlu diwujudkan khas buat pelajar kurang upaya penglihatan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Minggu Angkasa Lepas Dunia (WSW) 2014, di sini semalam.

Katanya, SIEK dibangunkan dalam masa dua tahun bermula tahun lepas dengan bantuan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, yang secara langsung terlibat mengajar pelajar kurang upaya penglihatan subjek berkaitan astronomi.

Beliau berkata, SIEK akan mula diedarkan ke sekolah pendidikan khas terpilih seluruh negara bermula awal tahun hadapan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

WSW 2014 yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Zulkifli Mohamed Hashim berlangsung dari 8 hingga 14 Nov.

Program itu bertujuan memberi pendedahan berkaitan bidang astronomi kepada generasi muda dan menggalakkan mereka menceburi bidang astronomi.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang WSW 2014 termasuk aktiviti cerapan bintang serta forum dan taklimat pakar astronomi negara. — Bernama

Advertisement