Anda di sini

Ujian saringan tibi mulai 2015

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan mengadakan ujian saringan ke atas 15,000 orang sebulan bagi mengesan penyakit batuk kering atau tuberkulosis bermula tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ujian yang akan dijalankan ke atas individu secara sukarela dan pemeriksaan di kawasan berisiko tinggi, dilakukan bagi mengekang penularan penyakit itu.

“Setakat ini, kita telah mencatatkan sejumlah 25,000 kes penyakit tuberkulosis berbanding 24,000 kes pada tahun lepas dan keadaan ini amat membimbangkan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini semalam.

Katanya, 14 peratus daripada 25,000 kes yang dicatatkan adalah dalam kalangan warga asing terutamanya mereka yang masuk ke dalam negara secara haram.

“Walaupun angka ini kecil, namun mereka berpotensi menjadi penyebar wabak tersebut yang mana ia mudah menjangkiti orang tua, pesakit diabetes dan penghidap HIV,” katanya.

Ini kerana, katanya, kesemua pekerja asing yang masuk ke negara ini secara sah wajib menjalani dua kali ujian saringan mengesan penyakit terutamanya yang berjangkit iaitu di negara asal mereka dan Malaysia.

Dr Subramaniam berkata mengikut rekod daripada 25,000 kes tersebut, Sabah menyumbang peratusan yang tertinggi iaitu 40 peratus.

“Oleh itu, kita akan mengadakan kempen dan aktiviti penjagaan kesihatan di sempadan timur Sabah dan Filipina yang mana ujian saringan untuk mengesan penyakit ini juga akan dapat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam menafikan khabar angin berhubung kes berkaitan Ebola dikesan di negara ini.

“Tidak mungkin kita tidak mendapat maklum mengenai kejadian ini kerana hanya Kementerian Kesihatan yang mempunyai kelengkapan untuk mengesan penyakit tersebut di negara ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu yang akan mencetuskan keadaan panik di kalangan orang awam. — Bernama

Advertisement