Anda di sini

SPAD perkenal sistem kad prabayar untuk pengguna bas di lima negeri

Advertisement

IPOH: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan sistem kad prabayar untuk perkhidmatan bas awam pada Mac tahun depan, kata Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata sebagai permulaan sistem itu akan dilaksanakan di lima ibu negeri iaitu Kuching, Sarawak; Kangar, Perlis; Seremban, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu serta Ipoh, Perak.

“Ini merupakan antara langkah kerajaan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Terminal Bas Amanjaya di sini, semalam.

Syed Hamid berkata tender hanya akan diberikan kepada perkhidmatan syarikat bas yang memiliki bas paling banyak di kawasan terlibat.

“Tujuan kita gunakan sistem itu adalah untuk menjadikan perjalanan menggunakan pengangkutan awam lebih mudah kerana penumpang tidak perlu menukar wang kecil untuk membayar tambang bas,” katanya.

Syed Hamid berkata teknologi baharu diperlukan dalam usaha kerajaan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di negara ini.

Katanya kerajaan akan memberi peruntukan kepada pengendali bas terpilih untuk melaksanakan sistem itu yang hanya melibatkan laluan yang ditetapkan.

“Kita menerima kembali peruntukan yang telah diberikan melalui kad prabayar yang akan dibeli oleh penumpang bas,” katanya.

Beliau berkata percubaan menggunakan kad prabayar itu telah dilakukan di Kelantan tahun lepas dan penerimaan terhadap penggunaannya amat menggalakkan. — Bernama

Advertisement