Anda di sini

SMK Kemena giat berkempen kebaikan baja kompos

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud

GIGIH: Kumpulan pelajar SMK Kemena yang mengendalikan projek ‘Kemena Green Compost for Society’.

MENGIKUT kajian, setiap hari hampir 20,000 tan sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan sampah di Malaysia. Sisa makanan ini merupakan makanan terbuang dari rumah, dewan makan asrama, hotel, kedai makan dan sebagainya.

Begitupun, pembuangan sisa makanan itu dilihat sebagai satu pembaziran dan meningkatkan jumlah bahan buangan di tapak pelupusan sampah. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya sisa makanan yang terbuang dikitar semula menjadi baja kompos yang sekali gus mampu membantu mengurangkan lambakan sampah harian.

Justeru, untuk merealisasikan usaha itu, seramai 20 pelajar dan dua guru penasihat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena melalui program `Petronas All About Youth 2014’ telah menjalankan projek `Kemena Green Compost For Society’ untuk sekolah mereka.

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh pelajar itu ialah mengumpul dan memproses sendiri sisa makanan yang dibuang dari dewan makan asrama sekolah mereka menjadi baja kompos.

Matlamat jelas mereka ialah untuk mengubah mentaliti masyarakat Malaysia mengenai keburukan membuang sisa makanan begitu sahaja tanpa inisiatif untuk penggunaan semula dengan pendekatan berbeza serta usaha-usaha memupuk generasi muda sebagai pencorak masa depan negara agar mencontohi pendekatan penghasilan baja kompos daripada sisa makanan itu.

KERJASAMA: Para pelajar SMK Kemena dan IKM Bintulu menanam pokok bunga dengan menggunakan baja kompos di IKM Bintulu.

Sementara itu, untuk memperluaskan usaha itu, kumpulan pelajar SMK Kemena telah memilih 20 murid sekolah rendah lain di Bintulu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Jepak dengan memberi mereka pendedahan mengenai cara menghasilkan baja kompos dan menggunakan baja tersebut untuk menanam anak benih pokok melalui kit baja kompos yang disediakan.

Kumpulan pelajar SMK Kemena termasuk guru mereka mengharapkan dan berkeyakinan melalui pendekatan itu generasi ini dapat mengubah kerangka pemikiran masyarakat Malaysia pada masa akan datang supaya mengurangkan pembuangan sisa makanan atau mencari pendekatan lain untuk memproses sisa makanan itu kepada sesuatu yang bermanfaat antaranya menjadikannya baja kompos.

Projek pertama seumpamanya yang dijalankan sekolah itu mengambil langkah terbaik mereka dengan mengadakan program penanaman pokok bunga bersama para pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu dan menyerahkan dua tong baja kompos kepada institut kemahiran tersebut.

Seterusnya, kumpulan pelajar SMK Kemena menganjurkan kempen kesedaran kepada masyarakat setempat.

Mereka mengedarkan risalah dan penerangan kepada orang ramai di tempat-tempat awam, peniaga-peniaga kecil di pasar malam Bintulu, penduduk rumah panjang serta kampung di Semanok dan Jepak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar iaitu tidak membuang sisa makanan begitu sahaja sebaliknya diproses menjadi baja kompos.

Beberapa aktiviti yang turut diadakan ialah penjualan baja kompos kepada masyarakat setempat tanpa melibatkan keuntungan sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada mereka supaya menghasilkan baja kompos sendiri dengan mencontohi maklumat dalam risalah yang telah diedarkan.

Projek yang diusahakan oleh kumpulan pelajar ‘Kemena Green Compost for Society’ itu turut mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya daripada Unversiti Putra Malaysia (UPM) untuk penghasilan baja kompos dan bantuan daripada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk mendapatkan pokok-pokok bunga.

Sementara itu, projek yang mampu mengurangkan pembaziran sisa makanan dan memulihara alam sekitar itu merupakan projek kumpulan pelajar tingkatan empat sekolah tersebut dengan bimbingan dua guru penyelaras dan penasihat mereka iaitu Wan Mohd Hanif Asri dan Haryati Mahad.

Pengetua SMK Kemena Rosli Salleh berkata, pihaknya berterima kasih kepada Petronas yang menganjur program seumpamanya kerana mampu memberi pendedahan, mencungkil bakat serta kepimpinan pelajar sekali gus mewujudkan interaksi antara pelajar dan masyarakat.

“Kami telah melaksanakan projek itu di beberapa tempat di sini antaranya menanam bunga dengan menggunakan baja kompos yang dihasilkan itu di IKM Bintulu serta mempromosi mengenai kelebihan baja itu di rumah-rumah panjang dan peniaga pasar malam di sini,” ujarnya.

Beliau berkata, sumber baja kompos yang dihasilkan oleh para pelajar itu adalah sisa makanan dari dewan makan asrama sekolah mereka.

Katanya, hasil pengetahuan yang diperolehi oleh pelajar untuk menghasilkan baja kompos itu juga dikongsi bersama serta digunakan untuk mengajar murid-murid sekolah rendah di bahagian ini.

Dengan penghuni asrama SMK Kemena seramai 250 orang, dewan makan asrama sekolah itu menghasilkan berpuluh-puluh kilogram sisa makanan terbuang setiap hari sekali gus memberi satu idea untuk pihak sekolah mencari jalan bersesuaian dengan melaksanakan pendekatan mengambil semula sisa makanan terbuang itu untuk dijadikan baja kompos.

Advertisement