Anda di sini

Sampah, aktiviti pertanian punca banjir lumpur

Advertisement

SAMPAH TERPERANGKAP: Longgokan sampah sarap yang terperangkap di dalam sungai dilihat masih belum lagi dibersihkan semasa tinjauan fotoBernama di kawasan banjir lumpur di Lembah Bertam di Cameron Highland, semalam. — Gambar Bernama

CAMERON HIGHLANDS: Pembuangan sampah di Tasik Ringlet serta aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan rizab sungai antara punca berlaku kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata terowong air iaitu laluan air keluar dari Tasik Ringlet tersumbat sepenuhnya disebabkan peningkatan jumlah enapan dan sampah, sehingga mengakibatkan paras air di empangan naik mendadak dan terpaksa dilepaskan secara berperingkat.

“Sampah seberat dua tan metrik dibawa keluar dari empangan tersebut setiap minggu dan pada malam kejadian, sampah seberat tiga tan metrik telah dibawa keluar.

“Paras air pada malam itu mencecah 3,509 kaki (10,527 meter), maka pintu empangan dibuka untuk pelepasan air,” katanya kepada pemberita di pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Habu selepas melakukan tinjauan udara di sekitar Empangan Sultan Abu Bakar dan Lembah Bertam, di sini, semalam.

Beliau berkata agensi kerajaan yang berkaitan perlu mencari jalan penyelesaian secara holistik berhubung aktiviti pertanian yang dilakukan di kawasan rizab sungai bagi mengelak kejadian banjir lumpur berlaku setiap tahun.

“Sekiranya kita tidak menyelesaikan masalah untuk jangka panjang, perkara sedemikian akan berulang. Kalau pindah, pindah semua termasuklah buat kebun penduduk di kawasan lain.

“Terlampau banyak aktiviti pertanian dilakukan di kiri dan kanan sungai. Apabila berlakunya hujan bumbung plastik akan masuk ke dalam tasik dan menyebabkan terowong air tersumbat,” katanya.

Mahdzir berkata TNB melakukan pelbagai penambahbaikan di kawasan Lembah Bertam termasuk melakukan kerja pengorekan pasir di Tasik Ringlet dengan kos mencecah RM40 juta tahun ini, selain memasang siren amaran serta menyediakan 38 papan tanda amaran banjir.

“Peruntukan RM40 juta itu termasuk melantik kontraktor untuk membuang pasir dalam tasik dan sedikit peruntukan akan digunakan bagi membantu infrastruktur lain,” katanya.

Selain itu, katanya TNB juga menawarkan untuk membiayai kos pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley yang baharu di kawasan bersesuaian.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mahdzir berkata TNB mengikut prosedur yang ditetapkan dalam mengendalikan pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar pada hari kejadian.

“Kita menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi kerajaaan yang berada di Cameron Highlands antaranya bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awamdan pelepasan air dapat dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.

Dalam kejadian itu, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera.

Ia turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet. — Bernama

Advertisement