Anda di sini

Pesawat MH17 di ‘Guy Fawkes Night’

Advertisement

LONDON: ‘Guy Fawkes Night’ atau ‘Bonfire Night’ adalah satu perayaan malam yang sering dinantikan komuniti kecil warga Malaysia yang tinggal dan menuntut di East Sussex.

Tetapi malam kelmarin, ia berbeza, satu kejutan bagi kebanyakan rakyat Malaysia di sini apabila pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh, menjadi sebahagian daripada yang digambarkan dalam perarakan yang diadakan di Lewes, sebuah bandar bersejarah, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Lewes Bonfire Night, acara terbesar seumpamanya di dunia, menyaksikan patung tanpa baju Presiden Rusia Vladimir Putin, yang berseluar (pakaian) tentera dan membawa refal, memijak pesawat MH17.

Raja Imran Raja Azhar, pelajar lepasan ijazah bidang reka bentuk dalaman daripada Universiti Brighton yang merupakan pengunjung tetap acara itu setiap tahun, terkejut menyaksikan aksi itu menjadi sebahagian daripada perarakan berkenaan.

“Apa kaitannya dengan Guy Fawkes? Ini sudah melampau dan pada masa sama tidak perlu pun. Ia membangkitkan kemarahan dan perasaan resah dalam kalangan komuniti Malaysia di sini.

“Sehingga hari ini (kelmarin), tiada bukti yang mengaitkan Putin dengan insiden penembakan jatuh MH17. Tindakan ini bukan hanya melukakan perasaan warga Malaysia memandangkan penumpang pesawat itu terdiri daripada rakyat pelbagai negara. Harus ingat, mereka juga mempunyai keluarga,” katanya apabila dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas, membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak berkenaan. Penumpang yang maut termasuk 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia.

Dua patung Putin yang dibakar dibawa berarak pada Rabu malam, begitu juga beberapa patung pemimpin dunia dan personaliti terkemuka lain, antaranya bekas Presiden Amerika Syarikat George Bush; Perdana Menteri United Kingdom David Cameron dan Timbalan Perdana Menteri Nick Clegg; Canselor Jerman Angela Merkel; Presiden Syria Bashar Al-Assad.

Bekas pemimpin Libya Kolonel Muammar Gaddafi; bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Condoleezza Rice; mogul media Rupert Murdoch; bekas pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden dan Pope Francis.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Muhammad Nasy’at Ilham Hamdan, pelajar ijazah lanjutan pemasaran antarabangsa di Universiti Sussex yang cuba lebih memahami berkata acara itu sungguh menarik sehinggalah patung Putin keluar memijak MH17.

“Secara jujur saya tidak faham apa tujuan sebenarnya ketika itu. Saya rasa marah tetapi pada masa sama cuba mengerti. Saya tahu niat mereka ialah untuk mengaitkan apa yang Putin telah lakukan dan sebab kenapa Guy Fawkes telah didakwa.

“Mereka fikir ia adalah komplot Putin untuk mengelirukan pemberontak Ukraine supaya menembak jatuh pesawat itu, yang mereka fikir itu adalah pesawatnya. Saya tidak tahu nak gambarkan perasaan saya. Tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak patut libatkan nama Malaysia Airlines,” katanya ketika dihubungi.

Guy Fawkes Night dianjurkan pada 5 Nov setiap tahun di United Kingdom sempena meraikan King James 1 yang terselamat dalam cubaan untuk membunuhnya dalam ‘Komplot Bahan Letupan’ pada 1605. Anggota komplot itu, Guy Fawkes, ditangkap ketika mengawal bahan letupan berkenaan.

Orang ramai pada mulanya membuat unggun api di sekitar London dan kemudian 5 Nov dijadikan cuti umum tahunan hari kesyukuran kerana kegagalan komplot itu, dan orang ramai mula membakar patung dalam unggun api tersebut. Kemudiannya mercun dan bunga api menjadi sebahagian daripada perarakan berkenaan. — Bernama

Advertisement