Anda di sini

Langkawi perlukan lebih banyak bilik penginapan

Advertisement

LANGKAWI: Perkembangan pesat sektor pelancongan di Langkawi sepatutnya digunakan oleh pelabur dan pengusaha pelancongan untuk mewujudkan lebih banyak bilik penginapan seperti di hotel dan chalet.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata pada masa ini terdapat 8,500 bilik yang beroperasi di Pulau Langkawi, dan jumlah itu tidak mencukupi pada musim puncak kedatangan pelancong.

“Kita menyasarkan dalam masa terdekat 15,000 bilik dapat disediakan bagi menampung permintaan pelancong dalam dan luar negeri ke pulau peranginan itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berharap untuk tahun ini sahaja lebih 5,000 bilik penginapan dapat ditambah di Pulau Langkawi bagi memenuhi permintaan terutama pada musim perayaan dan cuti am.

Katanya sasaran untuk menarik seramai 3.5 juta pelancong ke Langkawi setahun, berjaya dicapai tahun lepas.

Mohd Rawi menjangkakan lebih ramai pelancong akan berkunjung ke Langkawi dengan beberapa penganjuran acara bertaraf antarabangsa dilangsungkan di pulau bebas cukai itu.

Bernama difahamkan pada musim puncak seperti cuti am, permintaan untuk berkunjung ke Langkawi boleh melebihi 24,000 orang pada satu-satu masa tetapi masalah kekurangan bilik menyebabkan permintaan itu tidak dapat dipenuhi.

Pengurus Grand Beach Resort Pantai Cenang, Mohd Hatta Omar berkata tahun ini, pihaknya akan membina 70 bilik penginapan membabitkan kos RM8 juta.

Katanya ketika ini terdapat 30 bilik penginapan dan syarikatnya merancang menambah jumlah bilik dari semasa ke semasa berikutan permintaan yang semakin meningkat daripada para pelancong. — Bernama

Advertisement