Anda di sini

Kerajaan Pulau Pinang kutip RM1.9 juta hasil levi hotel sejak Jun hingga September

Advertisement

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang memperoleh RM1.9 juta hasil kutipan fi kerajaan tempatan yang dikenakan terhadap penginap hotel di negeri ini sejak 1 Jun hingga 30 Sept.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan negeri Danny Law Heng Kiang berkata sebanyak RM1.7 juta adalah hasil fi bagi hotel di kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan RM212,257 untuk hotel di kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Mulai 1 Jun, penginap hotel di negeri ini dikenakan fi dengan kadar RM3 bilik/malam bagi hotel empat dan lima bintang manakala bagi hotel tiga bintang dan ke bawah termasuk hotel bajet dan rumah tumpangan kadar fi ialah RM2 bilik/malam.

“Pada masa ini kerajaan negeri belum bermesyuarat lagi, tetapi dalam perancangan sedia ada, fi yang dikutip akan diguna untuk kegiatan lawatan dan promosi luar negara, membangun dan menambah baik infrastruktur kawasanpelancongan negeri, membangunkan pelancongan pelayaran atau ‘cruise tourism’,membangunkan MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen, Pameran) dan lain-lain,” kata Law.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lau Keng Ee (DAP-Pengkalan Kota) yang ingin tahu jumlah kutipan levi hotel tahun ini dan rancangan kerajaan negeri pimpinan DAP untuk menggunakan kutipan itu dalam persidangan dewan undangan negeri semalam.

Law berkata sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Menteri Lim Guan Eng dengan keahlian terdiri daripada wakil-wakil pengusaha hotel dan pengurus besar Penang Global Tourism akan diwujudkan bagi membincangkan kaedah penggunaan kutipan hasil fi untuk pembangunan pelancongan. — Bernama

 

Advertisement