Anda di sini

Jangan cepat panik lihat video buli di laman sosial: SKMM

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati orang ramai agar tidak cepat panik apabila melihat video yang dimuat naik di laman sosial yang memaparkan unsur keganasan seperti buli.

Pengerusinya Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata sebaliknya orang ramai perlu segera melaporkan kepada pihak polis atau SKMM untuk membolehkan siasatan lanjut dibuat.

“Jangan terlalu cepat membuat andaian sebab kadang kala ia adalah benda lama yang sengaja digembar-gemburkan semula,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) untuk Gaza di sini semalam.

Beliau berkata orang ramai juga jangan terlalu cepat untuk menyebarkannya kerana ia boleh menimbulkan keadaan tidak selesa.

Mohamed Sharil diminta mengulas mengenai dua video aksi buli yang membabitkan pelajar sekolah yang tersebar di laman sosial kebelakangan ini.

Siasatan mendapati satu daripada perbuatan itu berlaku pada 2010 dengan tindakan sudah pun diambil terhadap pihak terbabit manakala satu lagi berlaku Mei lepas. — Bernama

Advertisement