Anda di sini

Firma Bumiputera sedia bantu JPJ tangani isu plat nombor tidak tepati syarat

Advertisement

SEDIA MEMBANTU: Mohd Shahrul menunjukkan plat nombor tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan semasa ditemu ramah oleh Bernama, di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Syarikat milik Bumiputera, Triforium Engineering Sdn Bhd, yang memiliki kepakaran pengeluaran plat nombor kenderaan cetakan timbul aluminium (AENP), sedia membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangani isu plat yang tidak menepati syarat ditetapkan.

Pengurus Besarnya, Shahrul Effendy Bidin, berkata syarikat yang ditubuhkan pada 1993, menggunakan teknologi Eropah bagi pembuatan AENP.

Syarikat itu, katanya, turut menerima pengiktirafan ISO 9001:2001 dan OSHAS 18001:1999 selain diuji pihak SIRIM Bhd.

“Nombor plat itu adalah seperti kad pengenalan kenderaan. Sebagai pihak yang sudah 20 tahun bertapak dalam industri ini, kami tahu aspek ini memerlukan satu piawaian seperti ciri-ciri keselamatan dan butiran pengenalan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, syarikat itu mendapat kelulusan JPJ pada Mei 1996 selepas satu sistem rangkaian dalam talian diwujudkan bagi menangani masalah pemalsuan, selain mengawal pengeluaran setiap plat nombor kenderaan di seluruh Malaysia.

Syarikat itu menggunakan bahan pantulan retro yang boleh dicetak dalam bentuk imej hologram menggunakan plat aluminium itu sebagai komponen utama dan menggabungkan salutan lapisan filem khas.

Selain cetakan timbul nombor pendaftaran, setiap plat nombor kenderaan itu mengandungi butiran seperti nama dan nombor kad pengenalan pemilik, alamat, jenis kenderaan, nombor chasis dan enjin, tarikh tempahan dan pengedarnya.

“Sebelum ini, syarikat mempunyai 14 cawangan dilengkapi mesin cetakan timbul dan dilantik EON Bhd bagi membekal plat kenderaan menepati piawaian antarabangsa.

“Namun kontrak itu ditamatkan pada Mac 2004,” katanya.

Walaupun dihimpit kekangan seperti terpaksa menutup cawangan dan pusat rangkaian pengedarannya di seluruh negara, Shahrul Affendy yakin berbekalkan rekod perolehan syarikat RM5 juta – RM6 juta setiap tahun, syarikat itu mampu memenuhi keperluan JPJ.

“Syarikat berharap dapat diberikan peluang membangunkan semula kilangnya sejajar dasar kerajaan membabitkan Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera,” katanya.

Mengikut satu laporan media, kerajaan, menerusi JPJ sudah dinasihati beralih daripada sistem lama pengeluaran plet nombor kenderaan yang tidak menepati peraturan.

“Lihat saja plat nombor kenderaan di negara lain yang berdekatan. Malah, di India dan Sri Lanka, plat nombor kenderaan itu dikeluarkan pihak berwajib menggunakan saiz dan ukuran yang seragam,” katanya. — Bernama

Advertisement