Anda di sini

Bandar raya JB dihias indah sempena persandingan diraja

Advertisement

JOHOR BAHARU: Bandar raya Johor Bahru kini berubah wajah dihiasi dengan pelbagai rekaan bunga-bungaan dan kerdipan lampu bagi menyambut majlis persandingan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Khaleeda Bustamam malam ini.

Di sepanjang jalan sejauh kira-kira 3km dari Istana Bukit Serene menuju ke lokasi persandingan di Istana Besar, pekerja majlis perbandaran telah bertungkus-lumus menghiasinya dengan bunga-bungaan dan pelbagai landskap lain.

Pasangan diraja itu dijangka melalui jalan itu kira-kira jam 7.30 malam menggunakan kenderaan tidak berbumbung, memberikan peluang kepada rakyat jelata untuk melihat mereka.

Bangunan-bangunan dan jalan raya di sekitar bandar raya Johor Baharu juga dihiasi indah dengan bendera negeri Johor dengan memperlihatkan warna merah dan biru sebagai lambang warna kemegahan negeri ini.

Bagi rakyat Johor, mereka boleh menyaksikan istiadat persandingan mempelai diraja itu secara langsung dari Istana Besar menerusi dua unit skrin gergasi yang dipasang oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di hadapan bangunannya.

Warga bandar raya juga boleh menonton majlis persandingan diraja itu menerusi skrin gergasi dari Dataran Bandaraya.

Tinjauan Bernama semalam mendapati, pekerja sedang berusaha memastikan segala aspek teknikal diselesaikan bagi membolehkan orang ramai mendapat visual terbaik tentang majlis persandingan daripada skrin gergasi itu.

Bagi Nor Fazilah Omar, 28, beliau tidak sabar menyaksikan kemeriahan majlis yang akan menjadi sejarah buat dirinya kerana dapat menyaksikan persandingan diraja secara langsung, walaupun daripada skrin besar.

“Sebelum ini dapat melihat kedua-dua mempelai di kaca televisyen sahaja, apabila mengetahui tentang majlis persandingan ini pastinya saya tidak akan melepaskan peluang tersebut,” katanya.

Beliau akan pergi awal bersama keluarganya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang akan berlaku di sekitar jalan bandar raya.

Sementara itu, penjaja makanan di Dataran Bandaraya pula berkata, majlis persandingan itu merupakan peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan berikutan jangkaan kehadiran bilangan orang ramai yang tinggi.

Peniaga terbabit, Mohd Wahid Hashim, 35, berkata beliau akan memanjangkan waktu operasi perniagaannya hari ini.

“Saya akan melanjutkan perniagaan saya sehingga jam 3 pagi daripada sebelum ini untuk menambah pendapatan pada malam persandingan diraja itu,” katanya.

Beliau akan menambah jumlah makanan khusus untuk malam itu nanti kerana menjangkakan orang ramai akan berkunjung ke gerainya bagi menikmati makanan serta minuman yang disediakan.

Mohd Wahid yang dibantu isteri dan dua orang anaknya, juga tidak sabar untuk menyaksikan hari yang bersejarah itu untuk dijadikan kenangan yang paling manis sejak beliau menetap di Johor 15 tahun yang lepas. — Bernama

Advertisement