Anda di sini

Wujudkan SOP, elak kekeliruan

Advertisement

KOTA KINABALU: Melihat kekeliruan yang timbul akibat penahanan buku Kristian dan cakera padat (CD) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) baru-baru ini, satu Standard Operating Procedure (SOP) perlu diwujudkan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, untuk mengelakkan perselisihan faham berlaku pada masa akan datang sekiranya buku sedemikian dibawa masuk ke dalam negara, SOP perlu diwujudkan.

Pengwujudan SOP itu akan membantu dalam memastikan tiada lagi masalah serupa akan berlaku sekiranya buku-buku keagamaan seperti itu dibawa masuk melalui pintu masuk utama negara termasuklah lapangan terbang.

Menurutnya, buat masa ini, beliau sedang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk mewujudkan SOP bagi menentukan proses pemeriksaan buku keagamaan yang dibawa masuk ke dalam negara.

“Kami juga akan mendapatkan pandangan daripada gereja-gereja. Apa yang penting adalah mewujudkan SOP,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Buku Kristian dan CD yang dirampas di KLIA 2 pada 25 Oktober lalu kepada pendakwah Kristian dari Kota Marudu, Maklin Masiau, di sini kelmarin.

Ketika ditanya sama ada penahanan buku itu berkaitan pengharaman penggunaan kalimah ‘Allah’, Kurup yang juga menteri bertanggungjawab terhadap perpaduan negara berkata, pemeriksaan itu adalah rutin biasa dan tidak berkaitan dengan kalimah Allah.

“Sebenarnya, sesiapa sahaja yang datang dari luar negara pasti akan diperiksa bagi melihat kandungan beg yang dibawa. Malah, saya sendiri pernah ditahan dan dibawa ke dalam pejabat Kastam untuk melihat kandungan beg yang saya bawa. Itu memang prosedur biasa,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan kira-kira 300 naskah buku Kristian dan 500 keping CD kepada Maklin.

Kurup turut melahirkan penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri atas tindakan proaktif untuk membantu mempercepatkan proses pengiriman buku agar ia selamat tiba ke tangan pendakwah Kristian Gereja PCS (Protestant Church Sabah).

Pada 31 Oktober lalu, Kurup dipetik berkata, beliau akan cuba melakukan yang terbaik bagi memastikan buku dan CD dipulangkan.

“Kita akan mencuba yang terbaik bagi memastikan buku dan CD dipulangkan kerana kita amat komited dalam perjanjian 10 perkara.

“Kita akan menjadikan ia satu usaha yang utama untuk memulangkan barangan secepat mungkin kepada pemilik,” katanya.

Perjanjian 10 perkara digariskan sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011 di mana membenarkan penggunaan Bible semua bahasa termasuk bahasa Malaysia, Indonesia mengandungi kalimah Allah.

Perjanjian itu turut membenarkan pencetakan, pengedaran dan mengimport Al-Kitab, Bible dalam versi Bahasa Malaysia.

Buku dan CD berkenaan ditahan semasa Maklin dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dari Medan, Indonesia ketika transit di KLIA 2.

Setelah 13 hari dalam tahanan KDN, akhirnya buku dan CD yang dibawa pulang dari Medan itu diserahkan kepada Maklin kelmarin.

Beliau yang ditemui semasa majlis penyerahan itu melahirkan ucapan terima kasih di atas tindakan proaktif kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Saya fikir ini sejarah yang baharu ke arah kehidupan lebih harmoni untuk negara. Dengan pengumuman bahawa ada SOP akan digubal, saya fikir ini satu lagi anjakan yang positif untuk gereja di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih akan ke luar negara untuk membeli buku-buku seperti itu pada masa akan datang, Maklin berkata pembelian yang dibuat adalah berdasarkan permintaan gereja.

“Sekiranya ada keperluan maka saya akan pergi mendapatkannya sekiranya masa sesuai,” jelasnya.

Beliau berkata, buku dan CD yang baharu diserahkan itu akan diedarkan kepada gereja-gereja PCS yang terdapat di sebelah utara Sabah seperti Pitas, Kudat dan Kota Marudu.

 

Advertisement