Anda di sini

Penyelidikan bantu UMS perkenal sumber makanan asli

Advertisement

KOTA KINABALU: Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan penyelidikan berkaitan warisan makanan membuka peluang kepada sumber makanan asli di negeri ini lebih dikenali dunia luar.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, gabungan potensi tenaga akademik UMS turut merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang berkenaan.

“Sabah memiliki kepelbagaian makanan tradisi daripada lebih 35 etnik secara keseluruhannya.

“Justeru, aktiviti yang memperkenalkan makanan tradisi kita bolehlah dianggap sebagai merawat warisan budaya yang semakin hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Apresiasi Makanan Tradisional Etnik Sabah anjuran Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan UMS di sini kelmarin.

Menurutnya, masakan yang enak dan lazat boleh menjadi salah satu tarikan pelancongan supaya lebih ramai pelawat datang ke negara ini khususnya ke Sabah.

Kamarlin berkata, pelancong yang datang bukan setakat meninjau keindahan alam semulajadi atau adat resam kebudayaan masyarakat tempatan.

Kedatangan pelancong juga jelasnya, bertujuan mengambil peluang menikmati masakan tradisional warga tempatan negeri ini yang jauh berbeza dengan citarasa negara asal mereka.

“Kementerian sentiasa mengalu-alukan program sebegini dan bersedia untuk menyumbang kepada usaha menonjolkan kebudayaan etnik Sabah kepada dunia luar.

“Selain itu, warga UMS yang berasal dari Sabah juga berpeluang mengenali lebih dekat kepelbagaian makanan suku kaum lain yang disajikan menerusi program ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata, dengan adanya penyelidikan berkenaan, pihaknya dapat mendokumentasikan makanan tradisional supaya menjadi satu khazanah kekayaan kebudayaan Sabah.

Menurutnya, melalui aktiviti yang dilaksanakan sempena dengan program itu, ia membantu menyerlahkan kreativiti dalam penggunaan sumber asli tempatan untuk menyediakan pelbagai jenis makanan.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Ismail Ali.

 

 

Advertisement