Anda di sini

Sorok dadah dalam sampul surat

Advertisement

Oleh RUZAINI ZULKIFLI //

JANATHAN (tengah) menunjukkan bungkusan sampul surat yang berisi dadah dalam sidang media di Wisma Kastam kelmarin.

KOTA KINABALU: Taktik seorang lelaki tempatan menyorokkan dadah ketamin bernilai RM300,000 dalam empat keping sampul surat akhirnya terbongkar apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) Terminal Dua, dekat sini.

Dalam kejadian berlaku jam 3.30 pagi Jumaat lepas itu, suspek, 32, dikatakan baharu sahaja tiba di terminal berkenaan dari destinasi Guangzhou, China ke negeri ini menerusi penerbangan AirAsia sebelum dijadualkan terbang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah Datuk Janathan Kandok berkata, suspek berjaya ditahan sebaik tiba di perkarangan unit pemeriksaan lapangan terbang itu selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika bagasi suspek diperiksa, kita turut dapati ia mengandungi objek mencurigakan dan hasil pemeriksaan lanjut, terdapat empat keping sampul surat berwarna coklat yang diselitkan dicelah-celah lipatan kain dalam bagasi dibawanya.

“Didapati sampul surat itu berisi bungkusan plastik yang dipercayai dadah jenis ketamin seberat 8.21 kilogram serta dianggarkan bernilai RM300,000 mengikut harga pasaran,” katanya.

Janathan berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada suspek yang juga merupakan lelaki tempatan itu adalah keldai dadah atau terlibat dengan sindiket antarabangsa dengan menjadikan rantau ini sebagai hub destinasi penyeludupan.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek baharu sahaja tiba di LTAKK Terminal Dua pada jam 3.30 pagi terbabit menerusi penerbangan Air Asia dari Guangzhou, China.

“Suspek juga difahamkan akan berlepas ke destinasi Kuala Lumpur pada hari yang sama sebelum dia berjaya ditahan oleh sepasukan anggota kastam,” katanya sambil mengesahkan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Janathan berkata sepanjang tempoh tempoh Januari hingga November tahun ini, pihaknya telah mencatatkan lima kes membabitkan insiden penyeludupan di lapangan terbang.

“Dalam lima kes sepanjang tahun ini, kita turut menahan seramai enam individu dengan empat daripadanya adalah warga asing dengan melibatkan nilai rampasan lebih RM1 juta,” katanya.

Advertisement