Anda di sini

Perintah berkurung dilanjut

Advertisement

Memasuki fasa ketujuh, lanjutan hingga 22 November ini

JALALUDDIN (tengah) menyampaikan surat penghargaan kepada salah seorang anggota polis bersempena Perhimpunan Bulanan IPK Sabah di sini kelmarin.

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di enam daerah dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan dilanjutkan mulai 7 hingga 22 November ini.

Memasuki fasa ketujuh setakat ini, perintah berkenaan akan dijalankan bermula jam 7 petang dan berakhir 5 pagi itu membabitkan daerah-daerah di pantai timur iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau meliputi 121,272 batu persegi atau 194,035 kilometer.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, langkah lanjutan terbabit diambil mengambil kira beberapa faktor termasuk ancaman penceroboh serta aktiviti penyeludupan di perairan itu.

“Lanjutan perintah berkurung itu adalah bagi meningkatkan sekatan terhadap ancaman-ancaman jenayah di kawasan terbabit termasuklah pencerobohan dan penculikan,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Jalaluddin berkata usaha rundingan pembebasan anggota polis berpangkat Konstabel Zakiah Aleip, 26, yang diculik di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lepas masih giat dijalankan termasuklah mengadakan rundingan bersama Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri Sabah bagi menangani perkara terbabit sebaik mungkin.

Zakiah adalah anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang diculik manakala rakan setugasnya Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh selepas ditembak dalam serangan hendap di Jeti Smart Water Bungalow Resort, Pulau Mabul.

“Pihak polis telah menulis surat kepada polis Filipina untuk sama-sama membantu berhubung kes ini,” katanya.

Sehingga ke hari ini katanya, sebanyak 104 panggilan diterima oleh pihak keluarga Zakiah daripada kumpulan penculik itu dan rundingan berkenaan masih dibuat serta disifatkan positif.

“Masih dalam peringkat rundingan, namun pendirian Kerajaan Malaysia tidak mahu tetapi atas dasar kemanusian kita masih berunding dan mengharapkan situasi menang-menang,” katanya.

Advertisement