Anda di sini

Pengedar ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai setengah juta

Advertisement

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai pengedar diberkas di hadapan sebuah restoran di Jalan Air Putih dekat sini Isnin lepas.

Dengan tertangkapnya suspek yang berumur 34 tahun dan berasal dari Terengganu itu, polis juga berjaya merampas 15,550 biji pil kuda seberat 1,719 gram bernilai RM466,500, 152 gram syabu (RM36,624) dan wang tunai (RM3,075) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM506,199.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata tangkapan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang tersebut merupakan rampasan terbesar pil kuda di Pahang setakat ini.

“Suspek ditahan pada jam 9.30 malam dan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaikinya, polis menemui satu beg plastik mengandungi 12,000 biji pil kuda yang diletakkan di tempat alas kaki bahagian tempat duduk pemandu.

“Susulan itu kira-kira jam 10.15 malam yang sama, polis telah menyerbu rumah suspek di Taman Kota Sultan Ahmad Shah di sini sebelum menemui 3,550 lagi pil kuda dan 152 gram syabu serta wang tunai RM3,075,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sharifuddin berkata siasatan awal mendapati suspek yang didapati negatif dadah dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lepas.

Katanya dadah yang dirampas tersebut dipercayai diedarkan untuk pasaran di daerah Kuantan, Maran dan Temerloh.

Sharifuddin berkata polis juga kini giat mengesan anggota sindiket lain yang dipercayai terlibat dengan suspek.

“Suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan di lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu katanya, polis sedang memantau 11 sindiket dadah di seluruh Pahang susulan daripada operasi yang dijalankan sehingga kini.

Katanya dengan tertangkapnya pengedar dadah berkenaan, kemungkinan polis dapat memberkas dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini. — Bernama

Advertisement