Anda di sini

MH17 isu utama agenda antarabangsa

Advertisement

Malaysia dan Belanda bersetuju keutamaan diberi kepada menemukan bangkai pesawat

PUTRAJAYA: Pemimpin Belanda dan Malaysia berikrar untuk menutup episod MH17 dan meletakkannya sebagai isu utama dalam agenda antarabangsa.

Ini adalah antara harapan yang terpancar dari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semasa pertemuan mereka di ibu negara pentadbiran Malaysia bagi membincangkan tragedi MH17 itu.

Najib dalam sidang akhbar bersama dengan Rutte di Perdana Putra semalam sempena lawatan rasmi sehari Rutte berkata, Malaysia dialu-alukan  memainkan peranan penting bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat yang terhempas itu.

“Kita (Malaysia) adalah amat dialu-alukan untuk memainkan peranan yang lebih besar dan mengambil bahagian dalam mencari bukti dan menyiasat apa yang sebenarnya telah berlaku kepada MH17 dan kami berharap dalam hari-hari yang akan datang ini, ia akan menjadi lebih jelas,” katanya.

Najib berkata beliau dan Rutte bersetuju bahawa negara-negara yang terlibat harus sama-sama bekerja rapat, dengan keutamaan diberi kepada menemukan bangkai pesawat bagi membolehkan laporan muktamad dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Kita perlu memastikan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat tanpa keraguan yang munasabah. Kami mempunyai pengetahuan, kami mempunyai banyak pengetahuan tetapi pengetahuan itu perlu disokong dengan bukti forensik yang kukuh,” katanya.

Najib berkata Malaysia begitu komited untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab dalam nahas MH17 ke muka pengadilan.

“Ini merupakan komitmen utama kita dan melakukan sedaya upaya mungkin untuk memastikan keadilan dilaksanakan dan dilihat,” katanya.

Najib melahirkan penghargaan kepada kerajaan Belanda atas bantuan mereka yang membolehkan semua mangsa rakyat Malaysia dikenal pasti dan dikembalikan kepada waris terdekat.

“Ini merupakan langkah penting dan kita berharap ia akan mengakhiri penantian kepada anggota keluarga mangsa yang teruk terjejas apabila siasatan MH17 diteruskan,” katanya.

Najib menyifatkan lawatan Rutte ke Malaysia sebagai satu manifestasi jelas “bahawa dalam keadaan berduka ada hikmahnya’.

“Dan apa yang merupakan hikmah sudah tentu telah membawa kedua-dua negara menjadi lebih dekat lagi dan kita komited untuk terus bergerak bersama-sama dalam konteks MH17,” katanya.

Sementara itu, Rutte berkata adalah perlu bagi Malaysia dan Belanda untuk terus bekerjasama rapat bagi memastikan insiden itu sebagai perkara utama dalam agenda antarabangsa.

“Waris terdekat sudah begitu lama hidup menderita selama berbulan-bulan. Penderitaan yang tidak menentu mengenai apa yang sebenarnya berlaku (kepada MH17),” katanya.

Semasa sesi soal jawab itu, Rutte berkata Malaysia akan menjadi sebahagian daripada pasukan penyiasat MH17 yang diketuai Belanda.

“Dengan 44 orang (rakyat Malaysia) maut dalam nahas itu dan pesawat (MH17) mengibarkan bendera Malaysia, jadi adalah logik Malaysia terbabit sama,” katanya.

Menjawab soalan lain, Rutte berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa mungkin bukan mahkamah yang sesuai bagi tragedi MH17.

Beliau berkata ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Belanda yang akan memutuskan mahkamah yang terbaik bagi mendengar kes itu.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat itu turut membawa 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia di kalangan penumpang. Semua mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa telah dikenal pasti. — Bernama

Advertisement