Anda di sini

KPDNKK Kelantan rampas lampin pakai buang tiruan

Advertisement

KOTA BAHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas 40,100 peket lampin pakai buang yang dipercayai menggunakan jenama tiruan.

Pengarahnya Abdul Ghani Harun berkata 15 anggota termasuk pegawai penguat kuasa menyerbu dua premis di Rantau Panjang, Pasir Mas berhubung aduan yang diterima daripada pemilik jenama lampin pakai buang itu.

“Dalam serbuan Rabu lepas itu, turut dirampas sebuah lori kontena yang berada di salah sebuah premis berkenaan dan di dalam lori tersebut mengandungi 15,560 paket lampin pakai buang.

“Kita anggarkan jumlah keseluruhan bernilai RM518,670, termasuk lori kontena itu,” katanya kepada pemberita di Stor Penyimpanan KPDNKK Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata pemilik jenama berkenaan telah membuat aduan kerana mendapati produk yang dikeluarkan telah ditiru dan dijual dengan harga yang lebih murah.

“Lampin pakai buang tiruan itu dijual dengan harga lebih murah iaitu RM6.70 bagi satu peket. Kita mengesan produk tersebut ada dalam pasaran negara kita tetapi tidak pasti mereka nak pasarkan di mana,” katanya.

Katanya tindakan susulan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya (individu) dan RM15,000 bagi setiap barang (Syarikat) jika sabit kesalahan.

Abd Ghani berkata orang ramai boleh menyalurkan aduan terus kepada pihaknya dengan menghubungi talian ‘hotline’ 1 800 886 800 atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip “KPDNKK ADUAN ” dan hantar ke 15888. — Bernama

Advertisement