Anda di sini

Wartawan Bernama disamun depan rumah di Subang Jaya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) disamun dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Subang Jaya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Azzah Mohamad @ Md Som, 28, yang bertugas di Meja Antarabangsa, berkata beliau baharu pulang dari tempat kerja dan meletakkan keretanya jenis Proton Inspira di tepi jalan di hadapan rumahnya di Jalan USJ 3/3M, Subang Jaya.

Azzah berkata, sebaik keluar daripada kereta dan ingin mengambil beg melalui pintu sebelah kiri, beliau didatangi seorang lelaki memakai topi keledar dari arah belakang dan mengacukan parang ke mukanya.

“Lelaki itu berulang kali meminta saya menyerahkan telefon bimbit saya jenis Samsung S4 dan beg tangan, dan setelah menyerahkan telefon dan beg itu, dia minta pula kunci kereta, tetapi saya enggan menyerahkannya.

“Saya bernasib baik kerana ketika itu sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki sepasang suami isteri berhenti kerana terlihat kejadian, menyebabkan lelaki itu melarikan diri bersama seorang lelaki yang sedang menunggu dengan sebuah motosikal di tepi jalan,” katanya kepada Bernama semalam.

Azzah berkata sebelum melarikan diri, lelaki itu sempat membaling sebuah beg galas yang didapati mengandungi sejenis topi, yang dipercayai sebagai taktik agar suspek tidak dikejar.

“Pasangan suami isteri yang berhenti itu menenangkan saya dan menghantar saya masuk ke rumah,” katanya sambil menambah, di dalam beg tangannya ada dompet berisi wang RM410, kad pengenalan, lesen memandu dan lain-lain, perakam suara, powerbank, kad pekerja dan pas media. — Bernama

Beliau berkata semasa kejadian hanya adik perempuannya berumur 27 tahun berada di dalam rumah.

Azzah membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.

“Saya bersyukur kerana tidak cedera dan mereka tidak dapat melarikan kereta, saya masih trauma dengan kejadian ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu yang disiasat di bawah kes samun berkumpulan menggunakan senjata. — Bernama

Advertisement