Anda di sini

Vaksin denggi dikaji dulu sebelum diguna

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kelebihan dan kebaikan vaksin denggi pertama di dunia yang akan berada di pasaran pertengahan tahun depan sebelum membuat keputusan untuk menggunakannya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata pihaknya sedang menganalisis segala data mengenai vaksin itu yang dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Selepas selesai kajian itu, kita akan membuat keputusan dalam kadar segera dan memuktamadkan sama ada ia boleh digunakan di negara ini atau sebaliknya.

“Kita sentiasa mengikuti perkembangan dan kita difahamkan, sebelum vaksin itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat, beberapa kajian antarabangsa perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai vaksin denggi syarikat multinasional Sanofi Pasteur yang akan berada di pasaran pada separuh kedua 2015.

Dr Subramaniam berkata pihaknya sedar akan kelebihan vaksin berkenaan, namun kajian menyeluruh perlu dilakukan dari beberapa sudut seperti sasaran kumpulan pengguna dan penerima, umur dan sebagainya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan menyatakan kajian klinikal peringkat akhir kedua menunjukkan vaksin itu dapat memberikan 95.5 peratus perlindungan terhadap demam denggi teruk, serta mengurangkan risiko kemasukan ke dalam wad sebanyak 80.3 peratus.

Pengeluar ubat dari Perancis itu telah menjalankan kajian melibatkan lebih 31,000 peserta di 10 negara endemik di Amerika Latin dan Asia, termasuk Malaysia. — Bernama

Advertisement