KUCHING: Pasukan Tsunabachi mengetepikan Microwave 7-5 untuk muncul juara Pertandingan Sofbol Liga Co-Ed Fast Pitch Miri yang berlangsung di padang KPS Pusat Belia pada Ahad lepas.
Kemenangan itu memastikan mereka berjaya membalas dendam semasa tewas 6-7 di tangan Microwave pada pusingan awal kejohanan terbabit yang disertai sejumlah lima pasukan.
Tsunabachi bermula cemerlang dengan membelasah Kolej TDTHB 16-1 sebelum mengatasi Cyclones 6-1.
Selepas tunduk di tangan Microwave, pasukan itu berjaya bangkit dengan mengatasi Kolej Vokasional 20-3 untuk menduduki tempat kedua dalam liga dengan tujuh mata.
Microwave berjaya mengungguli kedudukan teratas dengan kelebihan larian berbanding pesaingnya.
Pasukan itu tewas tipis 3-4 di tangan Cyclones pada perlawanan pembukaan namun berjaya bangkit dengan menewaskan Kolej TDTHB 11-3, Tsunabachi 7-6 dan Kolej Vokasional 28-0.
Tempat ketiga dan keempat pula milik Cyclones dan Kolej TDTHB.
Kejohanan anjuran Persatuan Sofbol Sarawak (SSA) itu menyaksikan seramai 27 atlet SUKMA turut serta.
Dalam pada itu, SSA juga akan menganjurkan Siri Kejohanan Bandar Raya Miri dari 8 hingga 29 November membabitkan 14 pemain SUKMA.
Selain itu, Terbuka Sarawak Ke-4 yang merupakan acara terbesar untuk tahun ini berlangsung dari 11 hingga 14 Disember akan menyaksikan penyertaan pasukan dari Brunei, Semenanjung Malaysia, Miri, Bintulu dan Kuching.
Untuk kejohanan terbabit, Sarawak dijangka menurunkan pasukan sofbol SUKMA lelaki dan wanita bagi memburu kejuaraan.