Anda di sini

Skuad hoki bawah 16 S’wak lakar sejarah

Advertisement

KUCHING: Pasukan hoki bawah 16 tahun Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Hoki Tertutup Piala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (Piala DG) Ke-6 yang berlangsung di Tanjung Malim, Perak dari 24 hingga 26 Oktober lepas.

Kejohanan itu berjaya menarik penyertaan ramai pemain hoki bawah 16 tahun terbaik dalam negara termasuk dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar.

Pencapaian terbaik Sarawak adalah dengan menduduki tempat keenam pada edisi pertama kejohanan tersebut pada 2009.

Menyedari prestasi skuad negeri agak menurun selepas edisi tersebut, Persatuan Hoki Sarawak telah memulakan program pembangunan sejak beberapa tahun lalu.

Pemain yang lahir dari program itulah berjaya mengembalikan zaman kegemilangan Sarawak dalam kejohanan itu kali ini.

Mereka bermula cemerlang dengan menundukkan Pahang 1-0 pada perlawanan pertama namun tewas 1-2 di tangan Negeri Sembilan.

Sarawak berjaya bangkit dengan mencatat tiga kemenangan berturut-turut menewaskan Terengganu, Perlis dan Selangor dengan 1-0.

Dalam saingan semi final, mereka tewas 0-2 di tangan Pulau Pinang menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh perlawanan sebenar.

“Kita patut memenangi perlawanan tersebut kerana memiliki banyak peluang namun gagal disudahkan dengan baik,” jelas Setiausaha SHA William Lee.

Beliau bertindak selaku pengurus pasukan manakala Kangot Awan dari SMK Penrissen selaku jurulatih.

Selain kejayaan menduduki tempat ketiga, skuad negeri turut berbangga apabila Muhd Nurazwan Syafiq Amri ditabalkan penjaga gol terbaik kejohanan.

Pemain lain yang turut menyumbang kepada kejayaan pasukan Sarawak kali ini ialah Shawn Bradley Mathew, 16, yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan hoki remaja Sarawak.

Beliau mula menyertai pertandingan itu sejak 2012.

Pemain lain dalam skuad itu juga pernah menyertai pertandingan kebangsaan bawah 14 tahun pada 2013.

Lee berharap pertandingan akan menjadi pendorong kepada lebih banyak kejayaan ditempa skuad hoki Sarawak di masa akan datang.

“Saya yakin kejayaan kita kali akan mencetus semangat pemain untuk berusaha mencapai keputusan yang lebih baik pada perlawanan akan datang,” tambahnya.

Advertisement