Anda di sini

Rumah percuma kepada 10 keluarga miskin di DUN Terengganu tahun depan

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu akan membina 320 rumah teres Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) secara percuma kepada 10 keluarga miskin di setiap 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), mulai tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata ia sebahagian usaha kerajaan negeri bagi memastikan rakyat miskin di Terengganu dapat memiliki rumah sendiri walaupun tidak mempunyai tanah.

“Saya sudah meminta wakil rakyat mengenal pasti kawasan sesuai, tiga atau empat hektar untuk dijadikan kawasan penempatan khas golongan ini dengan bajet sebanyak RM40,000 bagi seunit rumah.

“Kita akan bina rumah PPRT menggunakan konsep baharu iaitu rumah teres lebih selesa dan lengkap dengan infrastruktur asas termasuk taman permainan dan surau. Untuk permulaan, 10 keluarga yang benar-benar layak akan memilikinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Rumah Mampu Milik (RMM) Batu Hampar, Manir, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong.

Sebanyak 172 penerima fasa pertama menerima kunci rumah berkenaan yang bernilai RM68,000 setiap unit.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan membina 10,000 lagi rumah mampu milik pada tahun depan selepas semua kerja pengagihan RMM sedia ada diselesaikan akhir tahun ini.

“Sekarang, masih ada kira-kira 2,000 RMM yang siap dibina di lapan lokasi seluruh negeri tetapi belum diagihkan kepada rakyat.

“Kita akan selesaikan agihan semua rumah tahun ini dan saya sudah arahkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu menyemak semula senarai pemohon yang layak tetapi belum mendapat rumah untuk diberi pertimbangan,” katanya.

Antara lokasi rumah yang belum diagihkan ialah di Mengabang Besar, Gong Tengah dan Kampung Padang Luas di Besut; Sungai Bajar di Hulu Terengganu; Bukit Gasing di Marang serta Perasing Jaya dan Padang Kubu di Kemaman. — Bernama

Advertisement