Anda di sini

RM1.18 bilion dana untuk bantuan kematian pencarum KWSP sejak 1984

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.18 bilion dana digunakan untuk bantuan kematian yang dibayar kepada waris pencarum atau penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memenuhi syarat permohonanan sejak 1984 sehingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata mengikut perangkaan dari 2007 sehingga Oktober lepas sebanyak 119,065 pencarum KWSP menerima faedah bantuan itu namun 6,212 pencarum lagi tidak mendapat bantuan kematian berkenaan atas beberapa faktor.

“Antara sebab bantuan kematian tidak dapat disalurkan kerana permohonan pengeluaran bantuan melebihi enam bulan daripada tarikh kematian, baki simpanan pencarum adalah sifar semasa permohonan dibuat dan kelayakan waris sebagai penama tidak memenuhi syarat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) ingin tahu jumlah dana yang digunakan bagi membiayai bantuan kematian pencarum KWSP semenjak KWSP ditubuhkan dan jumlah pencarum yang mendapat faedah daripadanya berbanding jumlah kematian keseluruhan pencarum KWSP yang berumur bawah 55 tahun.

Chua berkata bantuan kematian merupakan bayaran sagu hati daripada KWSP sebagai tanda simpati untuk membantu menguruskan pengebumian pencarum dan mengurangkan beban kewangan orang tanggungan pencarum yang ditimpa musibah.

Katanya antara syarat kelayakan bantuan itu ialah, pencarum meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun dan permohonan diterima dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kematian pencarum.

Selain itu, beliau berkata bantuan sebanyak RM2,500 akan dibayar sekali sahaja mengikut budi bicara KWSP kepada mana-mana orang tanggungan pencarum dan pencarum masih mempunyai simpanan, semasa permohonan pengeluaran kematian dibuat.

Chua berkata bantuan kematian boleh dibayar mengikut budi bicara KWSP kepada mana-mana orang tanggungan seperti balu atau duda pencarum, anak-anak dan bapa atau ibu.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), sama ada kerajaan sudi mempertimbangkan supaya syarat kelayakan umur di bawah 60 tahun bagi mendapat bantuan kematian itu, Chua berkata cadangan itu perlu dikaji lagi memandangkan pada masa ini syarat pengeluaran dana KWSP masih kekal pada umur 55 tahun.

Sebaliknya beliau berkata bantuan kematian itu hanya sebagai sagu hati atas tanda simpati kepada anggota keluarga pencarum KWSP. — Bernama

Advertisement