Anda di sini

PPS disytihar pertubuhan menyalahi undang-undang

Advertisement

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dalam satu kenyataan semalam berkata pengisytiharan yang dibuat semalam (3 Nov) itu mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata peruntukan di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] adalah berkaitan kuasa menteri dalam mengisytiharkan sesebuah pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang.

“PPS Pulau Pinang merupakan pertubuhan yang menjalankan kegiatan-kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara,” katanya.

Berikutan pengisytiharan itu, katanya, tiada sesiapa boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo PPS Pulau Pinang sebagai pertubuhan berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Mohamad Khalid berkata segala akaun, aset, harta PPS Pulau Pinang juga akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Beliau berkata pengisytiharan itu juga menyebabkan tiada sesiapa boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pasukan itu.

Mereka yang bertanggungjawab menjalankan sebarang aktiviti PPS Pulau Pinang akan disiasat dan boleh didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335, antaranya Seksyen 42 dan Seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 142 Kanun Keseksaan, katanya.

Sehubungan itu, beliau meyeru semua pihak memberi kerjasama dalam membantu kerajaan untuk membanteras aktiviti-aktiviti PPS Pulau Pinang yang dianggap bercanggah dengan undang-undang sedia ada.

Selepas lima tahun penubuhannya, PPS dilaporkan mempunyai 296 kumpulan yang beroperasi di bawah 40 kawasan dengan memperoleh sumber kewangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebanyak RM20,000 hingga RM30,000 setiap tahun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. — Bernama

Advertisement