Anda di sini

Polis jamin tindakan tegas di kampung nelayan Kuala Sepetang

Advertisement

TAIPING: Polis Perak memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan jenayah dan penyelewengan di kawasan Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk A. Paramasivam bagaimanapun berkata, keadaan keselamatan di kawasan berkenaan adalah terkawal dengan polis sentiasa melakukan pemantauan rapi di samping meningkatkan kawalan dan rondaan.

“Kita tidak menafikan wujudnya kegiatan jenayah seperti kecurian, perjudian atau penyeludupan tetapi tidaklah sampai wujudnya mafia di kawasan itu,” katanya.

Paramasivam berkata, perbincangan telah diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi kerajaan lain seperti Pejabat Daerah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan bagi bekerjasama mengendali operasi pencegahan di kawasan tersebut.

“Perbincangan itu lebih menjurus kepada langkah-langkah pencegahan dan meningkatkan operasi oleh jabatan masing-masing selain operasi bersepadu yang dilakukan PDRM,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama media di sekitar kawasan Kuala Sepetang dan Kuala Sangga untuk menyaksikan suasana dan kehidupan perkampungan nelayan tersebut.

Katanya kerjasama itu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana polis menggunakan sumber daripada aset-aset agensi kerajaan untuk mencegah sebarang aktiviti penyelewengan dan jenayah.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan perkampungan di kawasan berkenaan dikuasai kumpulan mafia yang melakukan kegiatan jenayah seperti perjudian, pengedaran dadah, penyeludupan senjata, pelacuran serta menceroboh tanah kerajaan.

Berikutan itu, polis menafikan dakwaan wujudnya kumpulan seumpama itu bermaharajalela di kawasan terbabit. — Bernama

Advertisement