Anda di sini

Peserta FELCRA digesa tidak jual tanah kepada pihak lain

Advertisement

KOTA TINGGI: Peserta Rancangan Tanah Felcra Bhd di negeri ini yang mendapat geran hak milik tanah digesa agar tidak menjual tanah mereka kepada pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ini adalah bagi memastikan generasi mereka yang akan datang, akan turut mendapat faedah daripada pemilikan tanah berkenaan.

“Saya harap mereka yang dapat geran tidak menjual tanah mereka, teruskan kerjasama dengan FELCRA sebagai agensi pembangunan,” kata beliau.

Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran hak milik tanah kepada 287 peserta dan waris Rancangan Tanah FELCRABhd di Sungai Ara, semalam.

Rancangan pembangunan itu katanya bukan sahaja mengubah kawasan itu yang dulunya hutan kepada kawasan yang membangun dari segi ekonomi tetapi juga mengubah kehidupan para peserta kepada yang lebih baik.

Beliau berkata generasi kedua rancangan pembangunan itu mempunyai kualiti pendidikan yang lebih tinggi di mana ada yang memasuki institusi pengajian tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik.

Sementara itu, salah seorang peserta FELCRA yang ditemui, Ahmad Turiman berkata setelah hampir 40 tahun mencurah keringat mengusahakan tanah itu dengan tanaman kelapa sawit adalah tidak sia-sia dan boleh memberikan faedah kepada generasi mereka yang akan datang.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana mendapat hak milik yang sebenarnya dan insya-Allah kita akan usahakan selanjutnya untuk generasi akan datang pun dapat teruskan,” kata Ahmad. — Bernama

Advertisement