Anda di sini

Penyokong Anwar cuba rempuh pagar besi halangan

Advertisement

PUTRAJAYA: Suasana di pekarangan Istana Kehakiman di sini sedikit kecoh apabila penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh pagar besi halangan, pada jam 1.35 tengah hari.

Mereka yang mula bergerak menuju ke arah Istana Kehakiman sambil melaungkan beberapa slogan, cuba menimbulkan suasana tegang, namun ia dapat dikawal oleh anggota polis yang bertugas.

Ketika kejadian, seorang lelaki warga emas yang memegang sebatang kayu cuba bertindak kasar terhadap polis supaya polis membuka pagar halangan selain mencabar polis untuk menembaknya.

Namun, anggota polis yang berada di lokasi kejadian berjaya memulihkan kembali situasi dengan meminta lelaki itu beredar sebelum lelaki itu ditenangkan oleh penyokong Anwar.

Sementara itu, tinjauan Bernama juga mendapati sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlegar-legar melakukan tinjauan dari ruang udara di sekitar bangunan Istana Kehakiman di sini.

Jurucakap polis memberitahu Bernama hanya sebuah helikopter sahaja bertugas menjalankan tinjauan dari udara demi sejak jam 12 tengah hari semalam.

Semalam, pihak pendakwaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meneruskan hujah balas terhadap alasan rayuan pembelaan, diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27.

Selepas kesnya berakhir pada 3.35 petang semalam, Anwar muncul untuk bertemu penyokongnya bagi menjelaskan mengenai prosiding semalam, selama setengah jam.

Beliau kemudian meninggalkan pekarangan Istana Kehakiman bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kes mahkamah Anwar akan bersambung Khamis ini dengan pihak pembelaan membalas hujah pendakwaan yang diketuai oleh Muhammad Shafee yang berakhir semalam. — Bernama

Advertisement