Anda di sini

Pelajar hilang: Nenek yakin Ahmad Rafikin masih selamat

Advertisement

HULU TERENGGANU: Anggota keluarga Ahmad Rafikin Azman, yakin pelajar tingkatan empat itu masih selamat, selepas hilang ketika menyertai perlumbaan Maraton Gunung Gajah Terom, Sekayu, Kuala Berang di sini sejak Sabtu.

Neneknya Esah Abdul Karim, 69, berkata walaupun menyedari peluang tipis berikutan sudah masuk hari ketiga semalam, namun gerak hati dan nalurinya kuat menyatakan Ahmad Rafikin, 16, masih berada dalam keadaan selamat, cuma ‘disorokkan’.

“Saya tahu peluang dia (untuk hidup) mungkin hanya 50-50 memandang sehingga hari ini (semalam), belum ada sebarang petunjuk ditemui walaupun pasukan penyelamat tidak putus-putus melakukan gerakan mencari.

“Saya cuma mampu berdoa agar cucu saya berada dalam keadaan selamat dan harap dia kembali dengan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini semalam.

Katanya anggota keluarganya tidak pernah berputus asa dan sentiasa bertawakal melakukan solat hajat dan berdoa selain turut serta masuk hutan tebal bersama anggota penyelamat mencari pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu itu.

Anggota keluarga mangsa melakukan pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan khidmat pakar perubatan Islam dalam usaha membantu pihak anggota mencari dan menyelamat yang masih menemui jalan buntu walaupun kawasan pencarian diperluas dan penambahan 143 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi.

Sabtu lalu, Ahmad Rafikin dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan Maraton Gunung Gajah Terom di Hutan Lipur Sekayu dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang hari kejadian.

Azman sebelum itu memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa beliau tidak menemui Ahmad Rafikin yang sepatutnya diambilnya kira-kira jam 3 petang selepas acara itu. — Bernama

Advertisement