Anda di sini

MPK jimat belanja guna air kumbahan kitar semula

Advertisement

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menganggarkan penjimatkan antara RM300,000 hingga RM800,000 setahun dengan mengguna air kumbahan yang dikitar semula untuk menyiram dan membaja pokok-pokok di kawasan tamannya.

Sebelum ini MPK membelanjakan RM400,000 hingga RM1 juta setahun bagi tujuan itu dengan menggunakan bekalan air yang digunakan untuk minuman serta baja kimia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat bin Hassan berkata MPK dijangka membelanjakan RM100,000 hingga RM200,000 sahaja setahun dengan menggunakan air kumbahan yang dikitar semula.

“Penggunaan air kitar semula membantu menjimatkan penggunaan air bersih untuk minuman penduduk Perlis terutama pada musim kemarau,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandantangani perjanjian persefahaman antara MPK dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di pejabat MPK di sini semalam.

MPK diwakili Yang Dipertuanya, Ahmad Hussain manakala IWK oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Kadir Mohd Din.

Mengikut perjanjian itu, IWK akan mengitar semula air kumbahan di Loji Kumbahan IWK Wang Bintong di sini dan dibekal kepada MPK sebagai bio-efluen terawat dan baja bio-pepejal yang digunakan bagi menyiram pokok.

Mat berkata penjimatan itu membolehkan MPK menggunakan wang lebihan untuk mengindahkan kawasan pentadbirannya.

Sementara itu Abdul Kadir berkata Loji IWK Wang Bintong yang dibina pada 2009 dengan kos lebih RM30 juta mampu mengitar semula 4,000 hingga 7,000 meter padu air kumbahan dan menghasilkan air bersih antara 2,000 hingga 5,000 meter padu sehari serta kira-kira 20 tan baja bio-pepejal setahun. — Bernama

Advertisement